Ferdian Paleka, seorang YouTuber dari Indonesia sebelum ini menjadi perhatian di atas kandungan video keterlaluan yang dilakukan. Demi mendapatkan perhatian ramai, dia dan rakan-rakannya sanggup memberikan sumbangan bantuan berisi sampah kepada mereka yang berada di jalanan sekitar kota Bandung.
Perbuatan yang telah menganiaya ramai pihak itu akhirnya dibawa ke muka pengadilan apabila kini dia dan rakan-rakannya telah pun ditangkap pihak berkuasa. Ferdian sebelum ini menyembunyikan dirinya selepas mengetahui dirinya menjadi buruan ramai.
Dibuli di dalam tahanan
View this post on Instagram
Lebih malang lagi, Ferdian kini bukan sahaja berada di dalam tahanan pihak polis malah dia juga menjadi mangsa buli tahanan yang lain di atas perbuatan kejamnya itu. Di dalam video yang kini viral dikongsikan, Ferdian kelihatan telah membotakkan kepala dan hanya memakai seluar dalam.
Dia juga dibuli oleh penghuni yang lain dengan melakukan squat sebagai denda dan rakannya perlu melakukan tekan tubi. Dia dan rakannya yang jelas ketakutan itu hanya diperhatikan sahaja oleh penghuni yang lain ketika dibuli. Perakam video turut memintanya menyebut ‘Aing belegug’ yang bermaksud ‘Saya bodoh’.
Prank keterlaluan
Di dalam video prank yang telah dipadamkan itu, Ferdian dan rakannya telah mengagihkan kotak sumbangan Ramadan berisi sampah kepada mereka di jalanan. Antara mangsa yang menjadi kebodohan dan kekejaman itu adalah beberapa wanita transgender serta sekumpulan kanak-kanak yang ketika itu berpeleseran di tepi jalan.
Apa yang lebih menyedihkan adalah apabila penerima sumbangan ini kelihatan terharu apabila menerima ‘juadah bersahur’ yang diberikan. Malah mereka juga menyokong channel YouTube itu dengan memberikan kata-kata seperti ‘like, share dan subscribe’ sebagai tanda terima kasih kepada YouTuber itu.
Para mangsa yang terkesan dengan prank itu kemudian membuat laporan polis di atas penganiayaan itu. Selepas menyedari dirinya menjadi buruan pihak polis, Ferdian menyembunyikan diri dan menukar warna rambutnya bagi mengelakkan dirinya dikesan. Namun, dia akhirnya berjaya ditahan selepas dua minggu melarikan diri.