Penyanyi tersohor, Dayang Nurfaizah menegaskan bahawa aksi mesra bersama rakan penyanyi, Hael Husaini ketika menyampaikan lagu Haram di Konsert MeleTOP TVS malam semalam berlaku secara spontan dan bukan bertujuan meraih perhatian.
Menurut Dayang, atau nama penuhnya Dayang Nurfaizah Awang Dowty, 44, segala yang berlaku di atas pentas adalah hasil daripada keserasian dan profesionalisme yang terjalin antara mereka setiap kali berduet.
Sebenarnya ketika menyanyi, dia sebagai kawan baik nampak kesan comot gincu merah pada dagu saya.
Tapi terima kasih (sebab tolong bersihkan), risau muka tak nampak cantik pula. Tapi kalau orang suka, maksudnya kami berjaya menghiburkan peminat.
Beliau berkata demikian kepada HibGlam selepas konsert berlangsung di Stadium Tertutup Bandaraya Miri.
Penyanyi lagu Erti Hidup itu turut menyifatkan Hael sebagai pasangan duet yang ideal, memuji kemampuan Hael melengkapinya ketika membuat persembahan.
Orang tak tahu bila membuat persembahan, ada benda yang kita nak realisasikan. Bila itu terjadi, rasa sangat gembira lebih-lebih lagi bila berduet sebab saling menyokong.
Menyanyi duet bukan sekadar menyanyi bersama, tapi perlu saling melengkapi. Hari ini sukar nak jumpa pasangan duet dengan keserasian sebaik Hael, yang mampu beri energi hebat setiap kali atas pentas.”
Terdahulu, Dayang yang berasal dari Kuching, Sarawak turut mengakui sedang berkawan rapat dengan seseorang, mencetuskan spekulasi selepas timbul khabar angin mengenai dua penyanyi popular yang bakal mendirikan rumah tangga.
Susulan itu, nama Hael menjadi perbualan apabila didakwa sebagai individu yang kini rapat dengan Dayang.
Selain itu, kami kongsikan artikel trending yang lain pada pautan di bawah.