Syarikat penerbangan patuh syariah pertama Malaysia, Rayani Air kini mula melakukan bayaran balik kepada penumpang berikutan penggantungan operasi yang diumumkan syarikat itu pada Sabtu lalu.
Pemiliknya, Ravi Alagendrran berkata, pihaknya sedang berusaha untuk membuat bayaran balik bermula Isnin bagi tiket yang telah ditempah penumpang sebelum ini.
“Kami telah mula melakukan proses bayaran balik kepada penumpang pagi ini (Isnin). Penumpang-penumpang yang telah membuat tempahan tiket boleh datang ke pejabat kami di Shah Alam untuk mendapatkan bayaran balik.
“Kami mohon maaf di atas sebarang kesulitan. Kami akan cuba menyelesaikan perkara ini,” katanya seperti yang dilaporkan mStar Online.
Sementara itu, Ravi dalam satu kenyataan di Facebook pada Isnin berkata, pihaknya sedang berusaha keras untuk menyelesaikan urusan dalaman bagi memastikan Rayani Air kembali beroperasi.
Beliau turut memohon maaf kepada para penumpang yang terjejas akibat masalah yang dihadapi syarikat penerbangan itu.
“Kami memahami agenda rancangan dan jadual anda (penumpang) terganggu, kami memohon maaf. Kami akan membalas setiap emel berhubung pertanyaan dan bayaran balik anda,” katanya sambil menambah Rayani Air menghargai kerjasama dan sokongan dari semua penumpang.
Selain mendapatkan bayaran balik di pejabat operasi di Shah Alam, sebarang pertanyaan juga boleh dibuat dengan menghubungi pusat panggilan di 03-27214925 atau emelkan ke [email protected]
Pada sabtu yang lalu, Rayani Air mengumumkan syarikat penerbangan itu menggantung operasinya berkuat kuasa serta-merta pada Jumaat lalu sehingga ke satu tempoh yang akan diumumkan kemudian, sebagai sebahagian daripada usaha penstrukturan semula syarikat.
Ia susulan pembatalan beberapa penerbangan pada Jumaat disebabkan oleh mogok yang dilancarkan juruterbangnya.
Bagaimanapun, Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Liow Tiong Lai pada Ahad berkata, Jabatan Penerbangan Awam (DCA) akan menghantar notis penggantungan operasi sementara kepada Rayani Air pada Isnin, berikutan pengumuman syarikat itu menggantung operasinya pada Sabtu.
Menurut Tiong Lai, syarikat penerbangan tidak sepatutnya mengantung operasi penerbangan mereka sendiri tanpa kebenaran DCA.
Sumber : mstar online