Sekumpulan pemandu dari Malaysia baru-baru ini ditahan oleh pihak polis Thailand selepas tular video yang menunjukkan mereka memandu dengan mengganggu ketenteraman awam di kawasan berdekatan Greenway Night Market, Hat Yai.
Ia menyebabkan ketidakselesaan di kalangan penduduk setempat, terutama di kawasan Greenway Night Market yang terkenal dengan aktiviti malamnya.
Tindakan mereka ‘membuat bising’ dan menghalang lalu lintas telah meraih perhatian penduduk setempat yang segera membuat aduan kepada pihak berkuasa.
Polis Thailand ‘turun padang’
Memetik laporan tempatan, Kol. Pol. Aphichat Wannako, Ketua Balai Polis Kohong, bersama dengan beberapa pegawai kanan polis, termasuk Lt. Kol. Pol. Phuwanon Wiriyanrangkun dan Lt. Kol. Pol. Thanawat Baimadpanjo, serta pasukan Polis Pelancong, turun ke lokasi untuk menyiasat kejadian tersebut dan memeriksa rakaman CCTV sepanjang laluan yang digunakan oleh pemandu warga Malaysia tersebut bagi mendapatkan bukti yang kukuh.
Kira-kira jam 11 pagi, pihak polis berjaya mengesan dan menahan semua enam kereta yang terlibat dalam video tular berkenaan.

Semua pemandu tersebut kemudian diberikan peringatan mengenai undang-undang jalan raya di Thailand dengan bantuan pemandu pelancong sebagai jurubahasa untuk menterjemah arahan dan perbincangan yang dilakukan.
Pemandu-pemandu tersebut diminta untuk menghormati undang-undang lalu lintas dan dikenakan denda mengikut Akta Lalu Lintas Thailand.
Mereka juga diminta untuk memohon maaf kepada penduduk Hat Yai atas gangguan yang telah ditimbulkan dan berjanji tidak akan mengulangi tindakan tersebut lagi.
Pemandu-pemandu Malaysia pulang ke tanah air
Selepas selesai diambil tindakan, kumpulan pemandu Malaysia itu terus pulang ke tanah air mereka setelah menamatkan perjalanan tiga hari mereka di Thailand.
Pihak berkuasa Thailand juga mengingatkan bahawa mereka akan sentiasa memantau keadaan dan tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan yang lebih keras sekiranya berlaku sebarang lagi gangguan dari pelancong asing yang mengganggu ketenteraman awam.