Seorang ejen takaful berusia 35 tahun dihadapkan ke Mahkamah Sesyen dan Majistret Melaka hari ini atas lima pertuduhan, termasuk membuat hantaran jelik serta menghendap bekas isterinya sejak Jun lalu.
Tertuduh, Muhammad Akmal Helmi Mat Sirat, bagaimanapun mengaku tidak bersalah terhadap kesemua pertuduhan yang dibacakan secara berasingan di hadapan Hakim Haderiah Siri dan Majistret Sharda Shienha Mohd. Suleiman.
Mengikut pertuduhan, Akmal didakwa menghantar komunikasi jelik melalui Facebook miliknya dengan niat untuk menyakitkan hati serta mengganggu bekas isterinya, Masura Mustafa, 40 tahun.
Pihak pendakwaan yang diwakili Timbalan Pendakwa Raya Wardah Ishhar mencadangkan jaminan RM30,000 bagi setiap pertuduhan serta syarat tambahan agar tertuduh tidak mengganggu mangsa dan saksi, selain melapor diri setiap bulan di balai polis.
Namun, tertuduh melalui peguamnya, Haziq Aizuddin Subhi, merayu agar jumlah jaminan dikurangkan dengan alasan tidak mampu membayar kerana kehilangan pekerjaan sejak ditahan.
Ini bukan kali pertama saya dimasukkan ke lokap oleh bekas isteri, ini kali ketiga dia buat tuduhan palsu dan kes sebelum ini telah di DNAA (dilepaskan tanpa dibebaskan).
“Bekas isteri saya seorang peguam, saya tak ada jalan lain,” rayunya kepada mahkamah.
Mahkamah kemudian membenarkan jaminan sebanyak RM15,000 untuk kesemua pertuduhan serta menetapkan 26 Ogos ini sebagai tarikh sebutan semula kes. – KOSMO ONLINE
Selain itu, kami kongsikan artikel trending yang lain pada pautan di bawah.