Beberapa hari lepas, akhbar-akhbar harian negara telah melaporkan mengenai penemuan dua syiling di Pulau Nangka. Dua keping ‘medal’ dipercayai dari perak atau emas daripada zaman Kesultanan Melayu Melaka itu ditemui dalam pencarian harta zaman kesultanan itu oleh syarikat Smart Partnership International (M) Sdn. Bhd. di Pulau Nangka pada 30 April, pukul 11.15 malam dan 11.30 malam.
Bagaimanapun, menurut penulis di Malaysian Coin, syiling tersebut bukan berasal dari Melaka. Menurut beliau:-
Duit syiling atau medal yang dikatakan syiling emas Sultan Melaka itu hanyalah duit medalion yang sama tarafnya dengan duit syiling Yassin. Duit Semar yang berasal daripada Indonesia ini digunakan sebagai azimat atau pelindung diri dan juga digunakan di dalam ritual untuk menarik duit. Jika anda mencari di dalam internet menggunakan kata kunci “Koin Semar” di Google, sudah pasti akan terjumpa gambar yang serupa dengan syiling itu. Jika anda membaca blog-blog daripada Indonesia yang berkongsi cerita mengenai koin Semar tersebut, kebanyakannya menulis yang syiling itu berasal daripada zaman Majapahit. Sebenarnya, syiling itu tidaklah mempunyai jangka hayat yang lama. Sepertimana syiling Yassin, ianya dibuat sendiri di Indonesia untuk dipasarkan sebagai duit azimat sahaja. Penjual di internet biasanya menjualnya didalam lingkungan RM30-RM70 tetapi tidak menghairankan jika ada penjual ubat dikaki lima yang akan menjualnya pada harga RM3,000 sehingga RM7,000.
Duit syiling itu pastinya bukan syiling emas atau mengandungi emas. Ianya ada kemungkinan diperbuat daripada tembaga atau besi aloi sahaja. Daripada rupa bentuknya sahaja kita sudah dapat melihat ianya bukan duit lama, jika menggunakan kanta pembesar, sudah pasti nampak syiling tersebut berlubang-lubang serta tulisannya tidak cantik dan sekata.
Jika waris Sultan Melaka masih hidup, pasti baginda akan marah dengan kenyataan akhbar hari ini yang mendakwa syiling azimat ini adalah Syiling emas Sultan Melaka.
Mengikut carian kami di Internet menggunakan kata kunci “Koin Semar”, terdapat syiling serupa dengan medal yang dijumpai di Pulau Nangka oleh pekerja syarikat tersebut yang dijual oleh warga Indonesia. Contohnya di blog ini dan ini.
Malah ia juga dijual di Facebook, dengan Facebook di bawah sebagai contoh.
Terdapat pelbagai spekulasi mengenai bagaimana koin semar tersebut dijumpai di sana buat masa ini dan setakat ini, sama ada benar syiling itu berasal dari zaman kesultanan melayu Melaka sedang disiasat kesahihannya.
Bersama kita nantikan hasil siasatan itu.