Seorang pemilik rumah perlindungan kucing dan seorang pekerjanya didenda sejumlah RM 1, 100 kerana menyebabkan kesakitan dan penderitaan yang tidak sepatutnya kepada 17 ekor kucing, empat daripadanya mati semasa dijaga di rumah perlindungan itu.
Norhazlin Ibrahim, 39, didenda RM 800 atau lapan hari penjara manakala pekerjanya Helmy Jasmi Sulaiman, 27, didenda RM 300 atau tiga hari penjara. Keduanya membayar denda tersebut.
Menurut kenyataan fakta, pegawai penguatkuasa Jabatan Veterinar Wilayah Persekutuan telah menjalankan pemeriksaan terhadap Pusat Perlindungan Kucing Omiey Home di Kampung Melayu Kepong pada pukul 11.30 pagi, 3 April lepas.
Mereka mendapati Norhazlin (yang juga menggunakan nama Melissa Ridz) dan Helmy menyebabkan kesakitan dan penderitaan kepada 17 ekor kucing, dan empat darinya telah mati. Terdapat 200 ekor kucing di kurungan di situ, dan kucing-kucing itu berada dalam keadaan kotor, berbau busuk, kurus dan tidak sihat.
Norhazlin juga gagal menerbitkan sebarang dokumen yang menujukkan bukti rawatan terhadap kucing di bawah jagaan mereka. Mereka didakwa melakukan kesalahan itu di Lot 6, Jalan 8/1, Kampung Melayu Kepong pada pukul11.30 pagi, 3 April.
Mereka dituduh di bawah Seksyen 44(1)(d) Akta Haiwan 1953 (pindaan 2013).
Kisah Norhazlin dan penganiayaan kucing di Omiey Home menjadi viral beberapa bulan lepas kerana salah seorang bekas pekerjanya mendakwa wanita itu menganiaya kucing di Omiey Home dengan tidak memberi jagaan dan rawatan yang sewajarnya.
Ada yang mendakwa Norhazlin yang giat mengumpul dana dengan meminta sumbangan orang ramai bagi perbelanjaan menjaga kucing terbiar tidak menggunakan dana itu untuk kucing, sebaliknya untuk kepentingan peribadi, menyebabkan kucing di Omiey Home tidak terurus, dijangkiti penyakit dan mati walaupun meminta sumbangan RM 50 hingga RM 100 untuk setiap ekor kucing yang dihantar ke sana.
Screenshot pendedahan penuh bekas pekerja Omiey Home boleh dilihat dengan membaca entri ini sepenuhnya.
Diolah dari: The Star