Kini sudah bertukar warna hitam, gambar profil media sosial Facebook pemain badminton perseorangan negara Lee Zii Jia mencuri tumpuan pengguna media sosial, barangkali membayangkan apa yang terkandung dalam lubuk hati pemain itu.
Lee Zii Jia sebelum ini dilaporkan telah dikenakan tindakan oleh Persatuan Badminton Malaysia (BAM) gara-gara meluahkan hasrat untuk keluar daripada persatuan itu.
Malah, usaha media untuk mendapatkan maklum balas dan juga maklumat lanjut mengenai isu tersebut daripada pemain muda itu juga gagal apabila dia tidak menjawab sebarang panggilan.
Pastinya semua sedia tahu warna hitam dikaitkan dengan perasaan sedih, berkabung atau kematian.
Dan pastinya, ia berpunca daripada hukuman yang dikenakan oleh badan induk itu apabila dia telah dinafikan hak untuk menyertai mana-mana kejohanan antarabangsa mulai 18 Januari selama dua tahun.
Menjengah ke ruangan komen, ramai warga maya malah pemain badminton dari arena yang sama seperti pemain badminton nombor 1 dunia, Viktor Axelsen dilihat memberi respon kepada tindakan yang diambil BAM.
If a player (in this case LZJ) feels it’s best for him to follow another path where he is more independent as a player, then that is what he should do IMO. It’s his career and his life after all.
— Viktor Axelsen (@ViktorAxelsen) January 19, 2022
Terdahulu, Timbalan Presiden BAM 2, Datuk Seri Jahaberdeen Mohamed Yunoos memaklumkan bahawa pihak mereka ada menerima surat perletakan jawatan daripada pemain berusia 23 tahun itu pada 11 Januari lalu.
Setelah melalui beberapa sesi perbincangan mengenai keputusan Zii Jia, pemain ranking nombor tujuh dunia itu kekal dengan pendiriannya dan memberikan alasan bahawa dia tidak tahan akan tekanan yang dihadapi dalam skuad kebangsaan serta menafikan soal gaji menjadi punca dirinya tidak mahu lagi berada dalam BAM.