Dalam satu kejadian yang berlaku di Chukai, Terengganu semalam, seorang lelaki didapati membuat laporan polis palsu kononnya dia telah disamun dua individu.
Lelaki berusia 29 tahun itu tampil di Balai Polis Pasir Gajah dan mendakwa dia disamun dua lelaki yang menaiki sebuah motosikal jenis Y150ZR di Jalan Ibok-Paman, kira-kira jam 4.20 petang.
Ketua Polis Daerah Kemaman, Superintendan Hanyan Ramlan berkata dia turut mendakwa diacukan pisau di leher oleh dua suspek berjaket hitam.
Dia juga mendakwa tidak dapat mengenal pasti mereka kerana memakai topi keledar penutup penuh selain tidak dapat mengecam nombor pendaftaran motosikal yang ditunggangi suspek.
Dia membuat laporan tidak dicederakan suspek namun mendakwa mengalami kerugian wang tunai sebanyak RM1,500 serta seutas rantai dan loket emas bernilai RM700.
Hasil siasatan pihak polis, ternyata rupa-rupanya lelaki itu sengaja membuat laporan palsu kerana sudah menghabiskan wang gajinya dan masih belum memberi belanja kepada isteri.
Malah, rantai emas yang dilaporkan disamun itu sebenarnya telah dipajak di sebuah kedai emas dan masih belum diambil.
Siasatan turut mendapati lelaki itu mempunyai tiga rekod jenayah lampau berkaitan dadah.