Isu tentang gaji rendah yang diterima guru Pusat Asuhan Tunas Islam (PASTI) nampaknya sekali lagi menjadi tumpuan selepas topik itu dibangkitkan oleh Ahli Parlimen Setiawangsa, Nik Nazmi Nik Ahmad di Dewan Rakyat.
Gaji RM600 sebab ‘sukarela’
Ketika sesi perbahasan pada Isnin, Nik Nazmi mendakwa para guru PASTI hanya dibayar RM600 hingga RM700 sebulan dengan alasan status ‘sukarelawan’.
Kata Nik Nazmi, bayaran tersebut juga tidak mengikut gaji minimum yang telah ditetapkan dan alasan berkenaan sangatlah tidak wajar.
Bekas Menteri Alam Sekitar itu juga berkata, ia juga bercanggah dengan Akta Majlis Perundingan Gaji Negara (Pindaan) 2025 kerana semua pekerjaan yang memenuhi definisi pekerja tetap atau separuh masa perlu dibayar mengikut kadar gaji minimum
Kita terima banyak aduan termasuk daripada guru-guru sendiri soal penggajian guru yang diberikan RM600 ataupun RM700 atas alasan mereka sukarela dan bukannya pekerja. Tidak ada caruman KWSP, Perkeso dan lain-lain.
Kerja 4 jam, ada dapat imbuhan lain
Dalam pada itu, Ahli Parlimen Bachok, Mohd Syahir Che Sulaiman kemudian mempertahankan isu gaji guru PASTI itu dengan menyatakan meski gaji rendah namun mereka menerima imbuhan lain antaranya ialah tugas mengajar Iqra.
Mereka bekerja empat jam, amat singkat dan sebenarnya banyak PASTI tampung dengan imbuhan lain seperti Iqra dan seumpamanya.
Ahli PAS tak demand duit
Ketua Dewan Ulamak PAS Kawasan Lenggong, Muhammad Rif’aat Razman turut bersuara dan berkata lebih baik kerajaan fokus menaikkan gaji guru KAFA, guru Takmir, guru tadika KEMAS, bilal dan imam yang tertakluk di bawah pengurusan kerajaan persekutuan dan kerajaan negeri daripada menyibuk hal guru PASTI.
Apabila PAS buat sesuatu program dan aktiviti, termasuklah program pendidikan seperti PASTI, biasanya ahli-ahli PAS tak demand (tuntut) bayaran, tak berkira.
“Mereka yang melaksanakan program dan aktiviti parti itu merupakan petugas-petugas parti dan anggap kerja-kerja sebagai khidmat kepada jemaah. Jadi tak hairanlah mereka tidak kisah sangat soal bayaran,” tambahnya.