Pelakon muda Puteri Balqis mencuri perhatian netizen selepas berkongsi video “Get Ready With Me” (GRWM) di TikTok, memaparkan rutin penjagaan kulit dan solekannya.
Dalam video berdurasi hampir tiga minit itu, Balqis, 18, menunjukkan pelbagai produk yang digunakan dalam rutin hariannya.
Namun, yang menarik perhatian ialah apabila seorang peminat membuat anggaran jumlah keseluruhan produk yang digunakan pelakon drama ‘Keluarga Itu’ itu, dan nilainya dikatakan hampir mencecah RM8,000.
Perkara ini menimbulkan reaksi pelbagai di ruangan komen. Ramai netizen meluahkan rasa terkejut dengan harga barangan yang dianggap mewah dan mahal, malah ada yang berseloroh mengatakan “gaji 10 tahun pun belum tentu cukup” untuk miliki produk seperti itu.
Perbandingan juga dibuat dengan bayaran bulanan kereta, menunjukkan betapa tinggi nilai produk yang digunakan oleh Balqis meskipun usianya masih muda.