Seorang remaja lelaki nekad membakar rumah jirannya disebabkan gagal mencuri wang di daerah Jambangan, Candi, Sidoarjo, Jawa Timur, Indonesia.
Menurut seorang penduduk tempatan, dia memberitahu suspek menceroboh mangsa yang juga jirannya, Andrian Asrianto atau Aan jam 6 petang. Suspek memanjat pagar dan menceroboh masuk melalui tingkap rumah yang dipecahkan.
“Kebetulan, Aan tiada di rumah ketika itu dan suspek menceroboh sehingga ke bilik tidurnya. Suspek cuba menggeledah bilik tidur itu sebelum membakar kasut Aan kerana gagal mencuri wang”.
“Tidak lama selepas itu, api jadi marak dan akhirnya membakar keseluruhan rumah Aan”.
Susulan itu, suspek cuba melarikan diri dengan memanjat pagar tetapi sempat ditangkap oleh penduduk.
Pada awalnya, bapa suspek mempertahankan anaknya dan menyatakan kebakaran mungkin berlaku kerana mangsa terlupa menutup suis gas memasak. Namun, lelaki itu memohon maaf apabila suspek mengakui perbuatannya sejam selepas ditangkap.
Bapanya juga menyatakan kesudian mereka untuk membayar ganti rugi selain memohon kes diselesaikan dengan cara baik.
Suspek tetap ditahan di balai polis Sidoarjo, Jawa Timur kerana mempunyai rekod jenayah lampau. Antara jenayah pernah dilakukannya sebelum ini adalah dua kali terbabit dalam kes kecurian di rumah sama hingga mangsa kehilangan wang sebanyak 1 juta rupiah (kira-kira RM289).
Selain itu, suspek juga dikatakan pernah mencuri wang daripada tabung derma diletakkan di premis dan membakar rumah jiran yang lain.