Kerana gagal membayar pinjaman persahabatan daripada sebuah syarikat pembinaan kejuruteraan berjumlah RM5.28 juta, Mahkamah Tinggi (Bahagian Insolvensi) mengisytiharkan pereka fesyen terkenal, Datuk Jovian Mandagie muflis.
Menurut Harian Metro, keputusan itu dibuat Penolong Kanan Pendaftar Muhammad Faisal Zulkifli pada prosiding semalam selepas membenarkan petisyen pemiutang dikemukakan syarikat Cekap Air Sdn Bhd, yang difailkan pada 20 November tahun lalu.
Berdasarkan petisyen itu, bekas menantu Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob itu, selaku penghutang penghakiman didakwa gagal mematuhi Notis Kebankrapan bertarikh 21 Mei 2024, seperti yang diperuntukkan di bawah Akta Insolvensi 1967.

Kredit: Utusan
Jovian berhutang kepada Cekap Air sebanyak RM5,284,340.66 termasuk faedah, iaitu jumlah yang perlu dibayar berikutan penghakiman terus oleh Mahkamah Tinggi pada 2 April tahun lalu melalui kes saman utama.
Peguam yang mewakili Cekap Air iaitu Siti Nur Athirazatti Rohizad berkata semua permohonan oleh pihak Jovian untuk membatalkan dan menggantung petisyen itu telah ditolak oleh mahkamah.
Dalam pernyataan tuntutan, Jovian merupakan kenalan kepada pengarah syarikat Cekap Air, Yong Zhen Wei.
Zhen Wei telah meminjamkan RM5 juta kepada Jovian pada 25 Februari 2022 atas permintaan lisan pereka fesyen itu dan atas dasar pinjaman persahabatan.
Mengikut perjanjian, pinjaman berkenaan sepatutnya dilunaskan dalam tempoh tidak melebihi 12 bulan.
Rayuan Jovian terhadap penghakiman terus melalui saman utama akan didengar 15 September ini.
Selain itu, kami kongsikan artikel trending yang lain pada pautan di bawah.