Kegigihan seorang penuntut universiti meredah banjir menaiki sampan yang dikayuh adik lelakinya untuk menghantar ‘assignment’ meraih perhatian netizen di TikTok.
Menerusi video itu, penuntut Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah bernama Syahirah itu dilihat menggunakan sampan sebelum meneruskan perjalanan dengan motosikal dan kereta untuk ke bandar mencari kafe bagi mendapatkan internet.
Difahamkan, Syahirah tinggal di Tumpat, Kelantan dan kawasan rumahnya sudah pun dinaiki air serta tidak lagi boleh diakses menaiki kenderaan.
Adik saya sangat memahami, dia punya usaha dayung bot, tiba-tiba jalan nak keluar tiang elektrik jatuh, terpaksa guna laluan jauh sikit.
Syahirah ditemani adik lelakinya berjalan kaki ke tempat motosikal sebelum mereka ke tempat kereta untuk dipandu ke bandar Kota Bharu kerana laluan ke bandar Tumpat kini dinaiki air dan banyak kedai tidak beroperasi.
Sesusah sampai ke bandar Kota Bharu, Syahirah lega apabila terjumpa kafe yang masih beroperasi pada musim banjir ini dan dia berada di situ selama beberapa jam untuk siapkan tugasan dan pulang ke rumah.
Balik rumah naik bot pula, terima kasih adik saya. Sekian daripada saya, doakan kami dan air banjir cepat surut.
@syahirah_mz Pray for kelantan #banjir2024#banjirtumpat#fyp ♬ Камин – DR3AM7NG
Video itu mendapat perhatian dan pelbagai komen daripada netizen yang mendoakan agar urusan pembelajarannya dipermudah dan keselamatannya dan keluarga terjaga.
Dalam pada itu, sesetengah netizen memuji adik lelakinya yang membantu kakak untuk menghantar tugasan malah mereka mengingatkan Syahirah untuk tidak melupakan jasa adiknya di masa akan hadapan.