Gadis Ini Dibelenggu Identiti Diri Selama 23 Tahun, Dilabel Hanyut Bagai Tiada Negara

Trending

Gadis Ini Dibelenggu Identiti Diri Selama 23 Tahun, Dilabel Hanyut Bagai Tiada Negara

“Saya sebolehnya mahu berkeluarga, malah tahun depan saya merancang untuk bernikah. Calon suami pun sudah ada, tapi macam mana mahu isi borang kalau saya sendiri tidak ada identiti.

Advertisement

“Kalau boleh saya mahu jadi warganegara yang sah, tidak lagi hidup dalam ketakutan, malah sampai sekarang saya tidak tahu asal-usul atau mengenali siapa wanita melahirkan saya,” demikian rintihan gadis tanpa identiti yang dikenali sebagai Ain, berusia 23 tahun.

Sejak beberapa tahun lalu dia pernah beberapa kali ke Pejabat Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) termasuk di Putrajaya, untuk memohon MyKad, namun tidak berjaya berikutan tidak ada bukti boleh menyokong dia dilahirkan di negara ini.

Kehidupannya rumit dan dia boleh dilabel orang hanyut kerana tidak memiliki dokumen pengenalan diri. Tiada mana-mana negara mengiktirafnya sebagai rakyat yang sah.

Menceritakan kisahnya, Ain membesar di kawasan lorong di Jalan Chow Kit, Kuala Lumpur sebelum dijaga keluarga angkat pada usianya kira-kira enam tahun dan kemudian diserahkan pula kepada sebuah lagi keluarga lain beberapa tahun kemudian.

“Memang saya tak ingat apa-apa ketika itu. Sepanjang dijaga dua keluarga angkat terbabit yang menetap di Ampang, Selangor dan Kuala Lumpur saya tidak pernah ke sekolah selain tidak ada nama secara rasmi.

“Ain panggilan keluarga angkat kepada saya, jadi saya anggap itu nama rasmi saya. Umur pula saya agak saja 23 tahun kerana langsung tidak tahu tahun sebenar dilahirkan,” katanya.

Katanya lagi, sepanjang dijaga keluarga angkat dia dipaksa melakukan tugas orang dewasa seperti menjaga bayi, mencucuk sate, menyiang ayam dan ikan serta menjadi pembantu gerai.

Beliau berkata, sebagai kanak-kanak, dia mahu ke sekolah, tetapi tidak dibenarkan kerana tidak memiliki dokumen kelahiran dan keadaan itu menyebabkan dia berasa tertekan.

Berikutan itu sekitar usia 12 atau 13 tahun, dia nekad lari dari rumah dan merayau seorang diri sehingga ke Chow Kit dan bernasib baik dijaga oleh seorang pondan selama beberapa tahun.

Sepanjang tempoh itu, Ain mengambil upah mencuci pinggan di sebuah restoran mamak, malah dia berasa gembira kerana diajar membaca dan menulis oleh pondan yang menjaganya.

“Namun, saya diminta keluar dari rumah berkenaan kerana ketika itu bimbang ditangkap berikutan menjaga orang hanyut macam saya. Menggunakan wang simpanan bekerja di restoran mamak, saya cari kerja lain dan hidup berdikari sampai sekarang.

“Saya pernah cuba menjejak semula individu menjaga saya termasuk pondan terbabit namun gagal kerana rumah yang pernah saya diami sebelum ini tiada lagi dan sudah dibangunkan menjadi taman perumahan.

“Lebih menyulitkan saya tidak tahu siapa mereka, cuma tahu panggilan ringkas bukan nama penuh. Begitu juga dengan ibu bapa kalau ada rezeki berjumpa mereka saya bersyukur, kalau sebaliknya apa boleh buat,” katanya.

Dia turut mendakwa kerugian RM5,000 kerana ditipu seorang lelaki mengaku sebagai pegawai JPN kononnya boleh membantunya mendapatkan MyKad menggunakan jalan belakang.

Sumber : Harian Metro

Ikuti Facebook, Twitter, Instagram, Telegram dan TikTok BeautifulNara untuk dapatkan pelbagai kandungan menarik.

Komen

PERHATIAN: Pihak BeautifulNara tidak akan bertanggungjawab langsung ke atas komen-komen yang diberikan oleh pembaca kami. Sila pastikan anda berfikir panjang terlebih dahulu sebelum menulis komen anda disini. Pihak BeautifulNara juga tidak mampu untuk memantau kesemua komen yang ditulis disini. Segala komen adalah hak dan tanggungjawab anda sendiri.

Loading...