Seorang wanita berusia 23 tahun di China membelanjakan hampir 2 juta yuan (RM1.6 juta) dalam tempoh enam bulan untuk memberi tip kepada kumpulan gadis kegemarannya di platform penstriman langsung.
Kadangkala, perbelanjaannya mencecah 100,000 yuan (RM81,913.39) dalam sehari. Lebih membimbangkan, dia sanggup menggunakan harta pusaka peninggalan arwah ayahnya bagi membantu streamer kegemarannya memenangi “pertandingan PK.”
Untuk makluman, pertandingan PK ialah persaingan antara streamer untuk menarik pengikut dan memperoleh hadiah maya yang bernilai dalam tempoh tertentu.
Menurut laporan MSNEWS, wanita itu pertama kali menemui kumpulan gadis tersebut pada Mei 2024 dan memberikan tip awal sebanyak 100 yuan (RM81.91).
Pada mulanya, dia hanya menghadiahkan “hati kecil” bernilai 0.1 yuan (RM0.09), tetapi lama-kelamaan meningkat kepada hadiah maya lebih mahal seperti “kereta sport,” “karnival,” dan 122 “roket.”
Dia mengakui bahawa dirinya semakin ketagih memberi tip. Laporan juga mendedahkan bahawa dia telah menghabiskan 120,000 yuan (RM98,299.41) sebelum menyedari keadaan kewangannya semakin meruncing.
Dalam keadaan terdesak, dia cuba meminta bayaran balik daripada platform tersebut, namun rayuannya ditolak. Siasatan mendapati sebahagian daripada wang yang digunakan termasuk harta pusaka peninggalan ayahnya.
Keluarganya menegaskan bahawa dana tersebut bukan miliknya seorang, sebaliknya merupakan harta keluarga yang dikongsi bersama. Mereka secara rasmi menuntut penyiar langsung memulangkan wang tersebut atas alasan undang-undang.
Bagaimanapun, pakar undang-undang di China memutuskan bahawa wang itu secara sah dianggap sebagai “hadiah.”
Oleh kerana tiada bukti penipuan, paksaan, atau manipulasi, penyiar langsung itu tidak mempunyai kewajipan undang-undang untuk dikembalikan.
Selain itu, kami kongsikan artikel trending yang lain pada pautan di bawah.