Fraser & Neave Holdings Bhd (F&N) tampil memberi penjelasan selepas timbul kebimbangan orang ramai berhubung video tular yang memaparkan tin susu pekat manis jenama Gold Coin dengan tulisan Ibrani pada pembungkusannya.
Dalam kenyataan hari ini, syarikat tersebut menjelaskan bahawa produk berkenaan dieksport khas untuk pasaran Palestin, dan bukan untuk Israel seperti yang didakwa.
F&NHB tidak mempunyai sebarang urus niaga atau hubungan perniagaan dengan Israel,” jelas kenyataan itu, sambil menegaskan komitmen syarikat untuk terus menghormati sensitiviti tempatan dan sentimen pengguna.
F&NHB kekal komited dalam menghormati sensitiviti masyarakat dan berdiri teguh bersama mereka yang memperjuangkan keamanan serta keadilan.
F&N turut mengucapkan terima kasih kepada orang ramai kerana menyalurkan maklumat berhubung isu tersebut.
Penjelasan itu dibuat susulan video tular di media sosial yang mendakwa produk susu Gold Coin dari Malaysia telah memasuki pasaran Israel.
Menurut F&N, label pada produk itu menggunakan tiga bahasa Inggeris, Arab dan Ibrani bagi memenuhi keperluan pasaran tempatan, seperti yang diminta oleh pelanggan mereka, Food Collection Co. yang berpangkalan di Ramallah City, Palestin.
Dalam video berkenaan, seorang lelaki dilihat memegang tin susu Gold Coin yang tertera tulisan dalam bahasa Inggeris dan Ibrani, sambil mendakwa produk itu dihantar ke “negara laknatullah.”
Walaupun nama Israel tidak disebut secara langsung, istilah tersebut sering digunakan sesetengah pihak merujuk kepada negara itu.
Asal-usul video berkenaan masih belum dikenal pasti, namun ia telah tular secara meluas di Malaysia, malah ada pengguna media sosial yang menyeru supaya memboikot produk susu pekat Gold Coin.
Selain itu, kami kongsikan artikel trending yang lain pada pautan di bawah.