Pempengaruh terkenal, Mek Yun sekali lagi mendapat perhatian netizen selepas dia memuat naik satu video bersama peguamnya ketika hadir di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, Kuala Lumpur.
Menerusi video yang dimuat naik, Mek Yun atau nama sebenarnya Wee Yu Nee berkata, dia bertanggungjawab menjadi wakil kepada mangsa yang takut untuk tampil bersuara.
Sebagai content creator yang bertanggungjawab, Mek Yun bersuara untuk mereka yang tak mampu bersuara.
Dalam pada itu, pempengaruh itu sempat menitipkan pesanan buat orang ramai untuk memberanikan diri bagi membuat laporan polis jika berdepan dengan isu yang sama.
Kalau benda macam ni jadi dekat korang, atau orang yang korang kenal tolong speak up. Lapor pada polis. Jangan diam.
Mek Yun dah buat semampu yang boleh, sekarang kita serahkan sepenuhnya kepada pihak berkuasa.
Menjengah ke ruangan komen, rata-rata orang ramai mengucapkan terima kepada kepada pempengaruh itu kerana memberikan pendedahan mengenai grup Facebook tersebut dan orang ramai turut memuji usahanya dalam melindungi kanak-kanak yang menjadi mangsa perbuatan jijik pengikut grup tersebut.
Sebelum ini, kecoh di media sosial mengenai satu grup Facebook bernama ‘Grup Budak-Budak Sekolah Rendah’ yang memaparkan gambar-gambar kanak-kanak perempuan dan disertakan dengan kapsyen berunsur lucah.
Grup tersebut bersifat terbuka di mana sesiapa sahaja boleh menyertai dan memuat naik hantaran tanpa kawalan.
Lebih mengejutkan, gambar lama Mek Yun sendiri ketika zaman persekolahan di SMK Bukit Jambul turut dimuat naik tanpa sebarang kebenaran ke dalam grup tersebut.
Susulan itu, Mek Yun tampil mendesak pihak berkuasa agar segera bertindak ke atas grup tersebut.