Kumpulan Hartal Doktor Kontrak mendedahkan satu kes buli serius melibatkan seorang doktor pelatih di sebuah hospital di Tawau, Sabah, yang mengalami tekanan mental melampau sehingga hampir menamatkan riwayat hidupnya sendiri.
Menurut perkongsian di laman Facebook rasmi kumpulan itu, individu berkenaan yang dikenali sebagai Dr S, menjadi mangsa buli secara berulang oleh seorang pegawai perubatan senior yang sama, sehingga menjejaskan kesihatan mentalnya dalam jangka masa panjang.
Layanan yang diterima begitu teruk sehingga beliau mengalami kemurungan mendalam dan mengasingkan diri di dalam bilik selama bertahun-tahun, sekali gus tidak mampu kembali bekerja dalam bidang perubatan.
Lebih menyedihkan, individu yang didakwa membuli Dr S kini dilaporkan telah berhijrah ke luar negara dan sedang mengikuti program latihan kepakaran tanpa sebarang tindakan diambil.
Hartal Doktor Kontrak yang sebelum ini melancarkan kempen #StopWorkplaceBullying sejak tiga tahun lalu, sekali lagi menggesa pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) agar mengambil pendekatan lebih tegas dan sistematik dalam menangani isu buli di tempat kerja khususnya dalam sektor kesihatan awam.

“Kami telah menyaksikan secara langsung kesan dahsyat buli di tempat kerja dalam sektor kesihatan awam.
Oleh itu, kami menyokong sepenuhnya inisiatif Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad, yang akan melancarkan Garis Panduan Pengurusan Buli di Klinik dan Hospital Kerajaan pada Oktober ini.
Mereka turut menyatakan harapan agar amalan buli dapat dibanteras bukan sahaja dalam sistem kesihatan, malah di seluruh sektor pekerjaan di negara ini.
Selain itu, kami kongsikan artikel trending yang lain pada pautan di bawah.