Mengakui jumlah pengikutnya di laman Instagram meningkat sehingga lima juta pada hari kelahiran anaknya yang diberi nama Aisha Amaira Mohd Aidil, pelakon Fasha Sandha zahir rasa teruja dengan perkhabaran tersebut.
Menerusi perkongsian di laman Instagram, Fasha tidak ketinggalan menzahirkan ucapan terima kasih buat semua pengikut dan peminatnya yang sentiasa mendoakan kesejahteraan buat dirinya dan keluarga.
“Pengikut ibu naik ke 5M hari Aisha dilahirkan, ramainya yang sayangkan ibu, Alhamdulillah. Terima kasih pengikut ibu yang selalu mendoakan baik-baik untuk ibu saya sejak dulu lagi.”
Dalam pada itu, Fasha turut menasihatkan golongan ibu supaya tidak berputus asa dan terus berdoa apabila berdepan keguguran seperti yang pernah dialaminya.
“Aisha adalah anak kelima ibu dan ayah. Dua lagi anak ibu dan ayah sudah dalam syurga Allah. Ibu pernah dua kali keguguran sebelum dapat Aisha. Tapi, ibu dan ayah Aisha kuat, tak pernah putus asa. Al-Fatihah untuk kakak dan abang Aisha di syurga.”
Di ruangan kapsyen yang sama, Fasha tidak terlepas berkongsi maksud di sebalik nama anaknya yang membawa erti bahagia dan cantik selamanya.
Untuk rekod, Aisha dilahirkan pada 7 Ogos lalu hasil perkahwinan Fasha dengan Aidil yang sah bergelar pasangan suami isteri pada 30 Mac tahun lalu. Ia adalah perkahwinan kedua Fasha selepas berpisah dengan bekas suami, Jejai.
Fasha juga sebelum ini mempunyai dua orang cahaya mata iaitu Putra Rayfal Ramli dan Putri Raysha Jemyma menerusi perkahwinan pertamanya dahulu.