Isteri kepada pelakon terkenal, Fizo Omar iaitu Fazeera Nazri tampil mempertahankan suaminya susulan dakwaan tidak berasas yang menuduh aktor berkenaan tidak bekerja serta culas memberi nafkah kepada keluarga.
Menerusi satu hantaran di Threads, Fazeera menyifatkan tuduhan tersebut sebagai keterlaluan dan menyakitkan hati, lebih-lebih lagi apabila ia datang daripada golongan wanita sendiri.
“Kalau nak libatkan saya seorang, tak mengapa. Tapi jangan sampai menyebut nama suami dan anak-anak saya. Ada yang menuduh kononnya suami saya tidak memberi nafkah yang mencukupi, saya sahaja yang bekerja keras dan melahirkan ramai anak.”
“Terus terang saya katakan, tuduhan itu sangat jahat dan menyakitkan hati, lebih-lebih lagi apabila datang daripada mulut sesama perempuan,” katanya.
Menurutnya, soal tanggungjawab dan pemberian suami adalah perkara peribadi yang tidak perlu didedahkan kepada umum.
Tambah Fazeera, sekiranya benar mereka hidup susah seperti didakwa, mustahil dia mampu menjalani kehidupan seperti yang dilihat orang ramai ketika ini.
“Kalau benar hidup saya bergelut dan susah, bagaimana pula saya mampu melahirkan anak hampir setiap tahun, menyambung pelajaran, melancong, serta membayar komitmen rumah, kereta dan bil-bil?”
“Sehingga hari ini, saya tidak bekerja dan berasa tenang kerana tahu suami sentiasa ada di belakang. Kalau saya kongsikan berlebihan apa yang suami berikan, nanti ada pula yang menuduh saya menunjuk-nunjuk dan riyak,” jelasnya lagi.
Dalam pada itu, beliau turut berkongsi pesanan suaminya agar mereka sekeluarga kekal merendah diri di media sosial bagi mengelakkan hasad dengki serta perkara tidak diingini seperti penyakit ain.
Terdahulu, Fazeera turut berkongsi pandangan mengenai sikap segelintir wanita yang didakwa menggunakan kecantikan sebagai kelebihan untuk bergantung hidup kepada lelaki berharta, selain menyentuh tentang istilah lelaki ‘provider’ yang menurutnya sering disalah tafsir sehingga mengaburi tanggungjawab sebenar seorang ketua keluarga.
Selain itu, kami kongsikan artikel trending yang lain pada pautan di bawah.
”