Selepas berpisah, Mawar Karim dan Fizo Omar membuat keputusan untuk menutup perniagaan mereka yang dikenali sebagai Fizo Mawar Kitchen. Pun begitu, timbul pula khabar angin di mana restoran itu akan dibuka semula dan diberi penjenamaan baru.
Fizo juga kelihatan bersungguh-sungguh untuk menjadikan perkara itu sebagai satu kenyataan menerusi beberapa temu bual yang dilakukannya sebelum ini. Walaubagaimanpun, berita itu nampaknya hanya angan-angan sahaja kerana Mawar Karim telah tampil dan menafikan perkara tersebut dan menyatakan bahawa penutupan Fizo Mawar Kitchen adalah muktamad.
Mawar meluahkan perasaannya menerusi satu entri di laman Instagramnya dan turut berharap agar tiada pihak yang cuba menyebarkan cerita sehingga boleh mengeruhkan keadaan.
Diharapkan sangat lepas ini tiada lagi cerita daripada mana-mana pihak terutamanya yang ada kaitan antara saya atau Fizo mengeluarkan status atau cerita di media sosial yang konon tahu cerita.
Tidak perlu orang terdekat mencampuri urusan saya dan Fizo. Anda hanya melihat, mendengar tetapi saya dan Fizo sahaja yang tahu dan merasa perkara yang sebenar.
Erti kata lain, tidak perlu menuang minyak ke dalam api atau jangan menegakkan benang yang basah.
Walaupun ramai peminat yang yang meluahkan rasa kepada Mawar supaya menjenamakan semula Fizo Mawar Kitchen namun usahawan tudung jenama Fareeda ini berkata perkara itu tidak dapat dilaksanakan.
Rata-rata saya mendapat feedback memberi pendapat rebranding restoran ini. Saya dan Fizo mempunyai alasan yang sangat peribadi. Terima kasih kalian yang sangat memahami situasi kami.
Di sini juga terlalu peribadi untuk saya ceritakan berapa modal atau pelaburan yang telah saya dan Fizo keluarkan serta keuntungan pernah atau pun tidak pernah langsung saya terima selama empat tahun FMK.
Saya ingin mengucapkan terima kasih yang tak terhingga khususnya buat pelanggan yang sentiasa menyokong FMK selama ini.
Mawar juga menambah bahawa walaupun dia dan Fizo tidak lagi mempunyai hubungan tetapi mereka masih mempunyai tanggungjawab yang besar bagi membesarkan anak tunggal mereka iaitu Maryam.
Kepada yang masih ingin menikmati juadah di Fizo Mawar Kitchen, bolehlah singgah ke cawangan Bangi atau pun Kota Bharu jika berkesempatan. Restoran ini bakal menamatkan operasinya pada hujung bulan Oktober ini.