Baru-baru ini penyampai radio, Fizi Ali memaklumkan yang dia kini sudah sampai satu tahap di mana dia tidak tahu bagaimana hendak beritahu anaknya susulan mengulas tentang perceraiannya dengan bekas isteri yang juga pelakon, Shakilla Khoriri.
Fizi memberitahu yang dia dan Shakilla terpaksa memberi alasan apabila anaknya, Ameena Sofia bertanyakan soalan di mana ibu atau di mana ayahnya.
Apabila Ameena tanya mana umi, aku cakap umi kerja. Bila dia tanya mana daddy, daddy kerja.
Fizi meluahkan perasaannya yang masih lagi ada rasa sayang kepada bekas isterinya itu menerusi sebuah perkongsian di stesen radio Suria FM.
Menurut Fizi, kalau diikutkan tiada siapa yang mahukan perpisahan namun kadang-kadang ia terjadi bukan di atas kehendak kita.
Fizi turut memberitahu yang apabila perpisahan itu berlaku, dia rasa seperti sangat-sangat kehilangan kerana secara jujurnya Shakilla adalah segalanya baginya.
Tambah Fizi, dia berkenalan dengan Shakilla hampir lapan tahun termasuk berkahwin dan bermacam-macam yang sudah dilakukan Shakilla untuknya termasuk mengubah dirinya.
Dalam pada itu, Fizi juga sempat memohon doa daripada orang ramai agar dia dan bekas isterinya itu diberikan kekuatan untuk berdepan ujian tersebut.
Terdahulu, Fizi mengejutkan ramai pihak apabila mendedahkan sudah bercerai dan memilih untuk membawa haluan berbeza.
Biarpun sudah hidup berasingan, Fizi dan Shakilla bersepakat untuk membesarkan anak mereka, Ameena dengan penuh kasih sayang.
Sekadar info, Fizi dan Shakilla telah berkahwin pada 18 Februari 2018 dan mereka dikurniakan seorang cahaya mata perempuan iaitu Ameena Sofia yang kini berusia dua tahun.