Penulis blog, Murray Victor Hunter, telah menarik balik sepenuhnya beberapa artikel yang didakwa berunsur fitnah serta membuat permohonan maaf susulan penyelesaian dicapai bersama Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC).
Hunter, seorang warganegara Australia yang berpangkalan di Thailand, mengakui penerbitan artikel terbabit berkaitan MCMC dan petugasnya adalah tidak tepat, mengelirukan serta telah menimbulkan salah faham.

Dalam satu kenyataan pada Selasa, beliau melahirkan rasa kesal dan memohon maaf sekiranya artikel berkenaan menyebabkan sebarang kemudaratan. Hunter turut mengesahkan bahawa semua kandungan berkaitan yang disenaraikan dalam Jadual 2 dan 3 Perjanjian Penyelesaian telah ditarik balik sepenuhnya.
“MCMC dan saya telah berbincang serta mencapai persefahaman menerusi satu Perjanjian Penyelesaian. Saya mengakui komen dan artikel saya mengenai MCMC dan pihak berkaitannya boleh ditafsirkan sebagai tidak tepat, mengelirukan serta telah menimbulkan salah faham.”
“Sehubungan dengan itu, saya memohon maaf dan melahirkan rasa kesal sekiranya tindakan sedemikian telah menyebabkan sebarang kerugian kepada MCMC atau pihak-pihak berkaitan, dan dengan ini saya menarik sepenuhnya semua komen serta artikel terbabit. Senarai komen dan artikel berkenaan seperti yang dinyatakan dalam Jadual 2 dan 3 Perjanjian Penyelesaian dengan MCMC dilampirkan bersama,” katanya.
Artikel terbabit diterbitkan antara April hingga November 2024 menerusi beberapa platform termasuk laman Substack milik Hunter, Eurasia Review, serta X yang sebelum ini dikenali sebagai Twitter. Kandungan berkenaan mengandungi pelbagai dakwaan terhadap MCMC.

Penyelesaian tersebut dicapai susulan keputusan Mahkamah Tinggi Shah Alam pada Oktober 2025 yang mendapati Hunter bertanggungjawab atas fitnah. Mahkamah turut menegaskan bahawa kebebasan bersuara bukanlah hak mutlak dan perlu dilaksanakan secara bertanggungjawab.
Dalam kenyataan sebelum ini, MCMC menyatakan keputusan Mahkamah Tinggi berkenaan menjadi peringatan penting bahawa hak untuk menyuarakan pendapat tidak boleh dijadikan alasan untuk membuat kenyataan palsu, berniat jahat atau berunsur fitnah yang boleh menjejaskan reputasi pihak lain.
Menurut kenyataan itu, laporan polis turut dibuat di Malaysia dan Thailand masing-masing pada April dan Jun 2024 berhubung penerbitan artikel terbabit oleh Hunter.
Selain itu, kami kongsikan artikel trending yang lain pada pautan di bawah.
