Mahkamah Tinggi hari ini memutuskan bahawa pensyarah kanan Universiti Utara Malaysia (UUM), Dr. Kamarul Zaman Yusoff perlu membayar ganti rugi berjumlah RM400,000 kepada Ahli Parlimen Segambut, Hannah Yeoh, berikutan dua hantaran berunsur fitnah yang dimuat naik di Facebook lapan tahun lalu.
Memetik laporan Harian Metro, keputusan itu dibuat oleh Hakim Datuk Aliza Sulaiman selepas membenarkan saman fitnah yang difailkan oleh Hannah terhadap Kamarul Zaman. Mahkamah turut mendapati Hannah, yang kini menjawat jawatan sebagai Menteri Belia dan Sukan, berjaya membuktikan kesnya.

Walau bagaimanapun, Kamarul Zaman tidak hadir ketika prosiding berlangsung.
Tuduh Hannah ada motif sebar ajaran Kristian
Dalam saman yang difailkan pada tahun 2022, Hannah selaku plaintif menyatakan bahawa Kamarul Zaman telah memuat naik dua hantaran di Facebook antara 10 Mei hingga 17 Mei 2017. Dalam hantaran tersebut, Kamarul Zaman menuduh Hannah mempunyai motif untuk menyebarkan ajaran Kristian melalui pendekatan politiknya.
Pensyarah itu turut memetik kandungan buku autobiografi Hannah berjudul “Becoming Hannah: A Personal Journey” sebagai bukti dakwaan, malah menyatakan Hannah berniat untuk menjadikan Malaysia sebuah negara Kristian.
Namun begitu, dalam pembelaannya, Kamarul Zaman menegaskan bahawa kedua-dua hantaran Facebook itu tidak bersifat fitnah dan mempunyai alasan kukuh bagi setiap kenyataannya.
Sebagai seorang pensyarah dan seorang Muslim, saya mempunyai tanggungjawab untuk memaklumkan kepada orang ramai mengenai kandungan buku itu memandangkan saya bimbang mereka mungkin terpengaruh dengan Kristian dan sebagai seorang penganalisis politik, saya mempunyai hak untuk mengulas mengenai isu politik di Malaysia.
KDN tak haramkan buku Hannah

Sementara itu, Hannah dalam keterangannya semasa perbicaraan memberitahu bahawa buku tersebut diulang cetak sebanyak 18 kali dan tidak pernah diharamkan oleh Kementerian Dalam Negeri (KDN).
Kata Hannah, buku itu adalah autobiografi mengenai kehidupannya termasuk pengalaman peribadan dan pembabitannya dalam dunia politik.
Tiada bukti bahawa mana-mana orang Islam terpesong akidah dengan membaca buku berkenaan dan perkara itu disahkan oleh pemimpin Islam di negara ini.
Justeru beliau juga menegaskan, hantaran-hantaran Facebook Kamarul Zaman antara 10 Mei dan 17 Mei 2017 jelas berniat untuk menyinggung perasaan, menghina dan memfitnahnya.
Selain itu, kami kongsikan pautan artikel lain yang menarik di bawah.