Peguam syarie yang mewakili penyanyi Ahmad Nubhan Ahmad, iaitu Mohd Redzuan Ramli, tampil menjelaskan proses pemindahan barangan peribadi milik bekas isteri anak guamnya, Dr Afifah Hidayah Ahmad Tawfek, dari rumah kelamin dilakukan secara teratur dan berhemah menggunakan khidmat syarikat pengangkutan berdaftar.
Menurut Mohd Redzuan, dakwaan bahawa barangan peribadi terbabit dicampak keluar seperti yang dikongsikan Dr Afifah di media sosial adalah tidak benar, memetik BH.

“Dakwaan bahawa barang-barang peribadi dicampak keluar adalah tidak benar dan fitnah.
“Saya juga dimaklumkan anak guam bahawa proses pengalihan barangan peribadi bekas isterinya dibuat dengan sangat baik dan cermat.
“Sekiranya ada kecacatan Nubhan sedia bayar ganti rugi,” katanya.
Beliau turut memaklumkan bahawa bekas isteri anak guamnya sedia mengetahui mengenai persetujuan lisan berhubung tempoh menduduki kediaman kelamin tersebut yang sepatutnya berakhir selepas tamat tempoh iddah, iaitu pada Oktober lalu.
“Anak guam saya ada meminta pendapat untuk menduduki kembali rumah atas nama beliau. Saya jelaskan tiada kesalahan dalam undang-undang, tetapi hendaklah dibuat secara baik dan berhemah.
“Bekas isterinya (Dr Afifah) sedia maklum mengenai tempoh untuk tinggal di kediaman kerana perkara itu sudah dibincang dan dipersetujui. Tetapi, ada sebab kenapa Nubhan tidak maklumkan sebelum memindahkan barang-barang itu keluar.
“Nubhan pada bila-bila masa bersedia untuk menyediakan atau menanggung kos sewaan rumah untuk anak-anak beliau tinggal bersama bekas isteri sekiranya itu yang dimahukan. Anak-anak pula bebas untuk keluar masuk rumah terbabit tanpa had,” katanya lagi.
Terdahulu, Dr Afifah menerusi satu hantaran di Threads mendakwa barangan peribadi miliknya yang berada di rumah ibu bapanya telah dipindahkan tanpa sebarang makluman awal, ketika dirinya berada di luar negara.
Selain itu, kami kongsikan artikel trending yang lain pada pautan di bawah.

