Siapa sangka, hanya melalui bahasa visual, sebuah filem senyap tempatan mampu menembusi pasaran antarabangsa dan mencipta nama di festival filem di UK, Amerika Syarikat dan Thailand.
Difahamkan, filem LIFE: Living in Fear Everyday dihasilkan berdasarkan pengalaman peribadi Justin Franz, yang juga merupakan pengarah bersama Suran Hassan. Lebih mengagumkan, filem ini direalisasikan dengan bajet bawah RM1,000 menggunakan peralatan peribadi.

Mesej utama LIFE menekankan nilai empati, kemanusiaan dan bahasa senyap yang boleh menyatukan sekaligus membawa penonton menyelami sisi manusia yang sering kali dilupakan dimana kesunyian juga boleh menjadi bicara yang lebih kuat daripada kata-kata.
Pengiktirafan Antarabangsa Terhadap Filem LIFE
Filem LIFE berjaya menembusi festival filem antarabangsa di United Kingdom, Amerika Syarikat dan Thailand, termasuk Lift-Off First Time Filmmakers Sessions (UK), NanoCon International Film Festival (AS) dan Southeast Asia International Film Festival (Thailand).
Selain itu, LIFE turut menerima pengiktirafan daripada Toronto Global Film Festival (Kanada) dan Golden Lion International Film Festival (India).
“Walaupun filem ini senyap, penonton dari pelbagai negara tetap dapat merasai mesejnya. Ia universal,” kata Justin Franz.
Kisah Ringkas Mengenai Filem LIFE
LIFE mengisahkan Dean, seorang lelaki yang patah hati akibat tragedi, namun tetap melindungi dua “insan istimewa” yang sering disisihkan dunia. Kisah ini diteruskan dengan penceritaan perjalanan tentang kehilangan, ketabahan dan penebusan semuanya tanpa sepatah dialog.
Barisan pelakon terdiri daripada Ken Thayalan, Elli Famira, Max Gaudachon dan Aairenee Zarina, yang walaupun bukan pelakon profesional, berjaya menghidupkan emosi tanpa bicara hanya bahasa visual yang berkata-kata. Turut tampil penyampai radio Rika Adrina serta pelakon Sara Mack Lubis.
“Kami hampir hilang drone di kawasan terpencil, dan bila akhirnya dapat balik, baru sedar ada ular sawa besar dekat situ…” – Justin Franz
Menurut Justin, cabaran terbesar bukan sekadar bajet, tetapi semangat. Tahniah anak kelahiran Ipoh berjaya membawa nama ke pentas antarabangsa.
