February 2nd, 2016

Mula ditayangkan pada 28 Januari lepas di 126 buah pawagam seluruh Malaysia dan juga Brunei, filem OlaBola yang mengimbau kembali kegemilangan sukan bola sepak Malaysia, telah berjaya mencatat kutipan RM 2.5 juta dalam tempoh empat hari tayangan.

Menurut Ketua Pegawai Operasi Astro, Henry Tan, OlaBola mendapat sokongan yang baik dan menyentuh hati setiap lapisan masyarakat. Ia juga viral di media sosial dan trending di Twitter sebanyak enam kali.

Filem fiksyen OlaBola bukan hanya memaparkan sukan bola sepak sahaja, tetapi ia menonjolkan semangat dan perpaduan yang ada di Malaysia. Filem ini juga memiliki jalan cerita yang sesuai ditonton oleh semua lapisan rakyat di mana peminat sukan bola sepak boleh menikmati aksi bola sepak dan semangat berpasukan, manakala penonton yang meminati aksi komedi pasti akan terhibur dengan gelagat lucu yang ditampilkan.

Berlatarkan penghujung era 1970-an, filem Ola Bola berdurasi 1 jam 51 minit ini diterbitkan Astro Shaw Sdn Bhd dengan kerjasama Woohoo Pictures.

Ia diilhamkan daripada kisah benar dan menceritakan mengenai semangat juang pasukan bola sepak negara untuk bangkit daripada kekecewaan, sekali gus muncul wira negara.

Filem ini juga dibintangi aktor hebat Bront Palarae dan Pelakon Lelaki Terbaik di Festival Filem Malaysia ke 27(FFM), Frankie Lee turut ditampilkan di dalam filem ini.

Selain itu, ia turut mempertaruhkan barisan bakat baharu seperti Muhd Luqman Hafidz, Chee Jun Cherng dan Low Sin Mun.

Siapa yang belum tonton filem OlaBola memang rugi, bukan apa filem ini mempunyai daya penarik tersendiri dan tidak mempunyai jalan cerita yang cliche. Sekali sekala kita sokong filem tempatan apa salahnya bukan?


Comments are closed.

Loading...