Pengarah dan penerbit filem Killmaster, Julian Cheah berkata karya terbarunya telah diluluskan sepenuhnya oleh Lembaga Penapis Filem (LPF) tanpa sebarang pemotongan.
Walaupun mengandungi adegan intim, Julian berkata Killmaster juga telah diklasifikasikan sebagai P16 iaitu had umur 16 tahun ke atas.
Meskipun ada adegan intim dalam filem ini, namun pihak LPF telah periksa. Malah ingin saya maklumkan juga, LPF telah klasifikasikan filem ini P16 (had umur) untuk ditonton.
Killmaster bukan sekadar mengisahkan dunia seorang perisik tetapi juga turut menampilkan elemen glamor serta keindahan sinema.
Filem tersebut mengisahkan seorang ejen rahsia Asia, Alex Wong yang menggunakan nama kod Killmaster, terkenal dengan ketepatannya menyingkirkan ancaman global.
Tambah Julian yang juga merupakan pelakon di dalam filem itu, watak tersebut adalah transformasi besar buat dirinya selepas pernah mencuba pelbagai genre termasuk komedi, seram, vigilante dan pembunuh upahan.
Inilah kali pertama saya tampil dengan watak ala Bond. Saya yakin genre ini paling sesuai dengan jiwa saya.