Berita pencalonan filem animasi buatan Malaysia ini menjadi perbualan hangat di media sosial baru-baru ini. Menerusi laman rasmi Twitter, Les Copaque Production memaklumkan berita gembira itu.
Filem Upin & Ipin: Keris Siamang Tunggal yang ditayangkan pada Mac lalu berjaya memecahkan rekod dengan kutipan sebanyak RM25 juta selepas tiga minggu ditayangkan. Dan kini, filem ini bersaing dengan 32 filem animasi lain seluruh dunia untuk anugerah Oscar 2020.
Antara persaingan hebat lain adalah filem animasi Frozen 2, Toy Story 4 dan Angry Bird 2. Menurut Ketua Pegawai Eksekutifnya, Burhanuddin Md Radzi memaklumkan penyertaan ini dibuat sendiri oleh pihaknya selepas kemenangan di Festival Filem Montreal.

“Terima kasih rakyat Malaysia di atas sokongan luar biasa kepada filem ini.”
Salah satu syarat yang ditetapkan oleh Oscars adalah filem yang tersenarai harus ditayangkan di pawagam di Los Angeles sekurang-kurangnya selama 7 hari. Filem itu akan ditayangkan dalam format Bahasa Inggeris dengan tajuk “Upin & Ipin : The Lone Gibbon Kris“.
Filem menelan kos RM20 juta itu baru-baru ini diangkat sebagai Filem Cetera Terbaik di Festival Filem Animasi Antarabangsa 2019 (Animaze) di Montreal, Kanada. Selain menembusi pasaran China, Upin & Ipin: Keris Siamang Tunggal turut ditayangkan di Indonesia, Vietnam, Uzbekistan dan India.