Pelakon yang wajahnya tidak dimamah usia, Rozita Che Wan tampil menjadi ‘muse’ buat pereka fesyen Ezuwan Ismail semalam di acara Kuala Lumpur Fashion Awards (KLFA) 2021, sekaligus mencuri perhatian ramai.
Sinonim dengan imej glamor, untuk acara kali ini Rozita tampil berselubung keseluruhan tubuh badan dengan kain jaring yang bertatahkan batu berlian.
Tidak ubah seperti artis Hollywood Kim Kardashian, Rozita yang lebih mesra disapa sebagai Che Ta itu difahamkan menyarung gaun berona hitam yang dijahit menggunakan fabrik jenis twill dan dihiasi dengan 5000 butir berlian serta ‘chunky bead’ yang dianggarkan bernilai hampir RM50,000.
Jelas Che Ta, dia mempunyai sebab tersendiri untuk tampil berlainan dan unik seperti itu, luar daripada kebiasaan.
Ia satu kelainan. Sesekali orang tak payah tengok muka kita dalam acara seumpama itu, mengapa tidak? Telefon bimbit pun saya abaikan ketika majlis berlangsung.
Dalam pada itu, Ezuwan turut hadir menemani Che Ta dengan menggayakan busana sut hitam yang bernilai RM40,000.
Ujar Ezuwan, Che Ta menjadi pilihan untuk membawa fesyen tersebut kerana merasakan aktres itu mampu merealisasikan ilham dan imaginasi rekaannya pada acara fesyen berprestij itu.
“Semua tahu, dia antara selebriti yang mengutamakan penampilan diri dengan wajah siap bersolek cantik. Tapi dia jenis yang tak banyak songeh dan sempoi. Tiada istilah meniru atau dibayangi sesiapapun.” maklum Ezuwan lagi mengakhiri bicara.
Acara KLFA yang berlangsung di Hotel Shangri La itu turut dihadiri lebih 80 orang pereka fesyen seperti Alia Bastamam dan juga para selebriti terkenal tanah air.