Perkataan El Nino berasal dari bahasa Sepanyol yang bermakna “budak lelaki” di mana ianya mula-mula dikesan oleh masyarakat Amerika Selatan yang bertutur dalam bahasa Sepanyol seperti di Peru, Uruguay, Chile dan sebagainya.
Manakala kejadian El Nino pula ialah perubahan suhu permukaan laut yang tidak menentu. Di bahagian pertengahan lautan Pasifik akan terlalu panas yang menyebabkan pemelowapan yang tinggi. Maka akan berlakulah dua olahan tiupan angin yang berbeza.
Di bahagian pantai barat Amerika Selatan sehingga ke tengah Lautan Pasifik akan membentuk satu putaran mengikut arah jam. Ia akan membawa hujan yang lebat di sini.
Manakala di bahagian timur Kepulauan Indonesia dan Autralia sehingga ke pertengahan Lautan Pasifik akan membentuk satu putaran angin yang melawan arah jam.
Ini kerana permukan laut lebih sejuk berbanding di bahagian pantai barat Amerika Selatan. Ia akan menyebabkan tekanan udara menjadi berat dan turun ke bawah.
Fenomena ini menyebabkan ruang angkasa di pantai timur Kepulauan Indonesia dan Australia tidak mengandungi banyak air yang terpelowap disebabkan permukaan laut yang lebih sejuk berbanding di pantai barat Amerika Selatan. Angin yang bertiup adalah kering.
Maka kita di Malaysia tidak mendapat banyak hujan yang menyebabkan suhu secara puratanya semakin tinggi. Kita pernah mencatat suhu tertinggi harian antara 330C – 34oC. Namun dalam fenomena El Nino ia akan secara relatifnya akan bertambah 3oC lagi.
Jabatan Metrologi meramalkan akan mengalami fenomena El Nino pada bulan Jun atau Julai ini iaitu ketika tiupan angin barat daya sekarang. Secara amnya musim tiupan angin barat daya ditakrifkan sebagai musim kering lantaran angin daripada Lautan Hindi dihalang oleh Pulau Sumatera.
Maka angin yang lemah hanya membawa air hujan dari Selat Melaka yang sempit terutamanya bagi Semenanjung. Manakala bagi Sabah dan Sarawak pula dihalang oleh sebahagian besar kepulauan Kalimantan.
Oleh kerana fenomena El Nino, bahagian timur Filipina yang terdedah kepada Lautan Pasifik mempunyai arah angin yang menghala ke tengah-tengah Lautan Pasifik. Sudah tentu semasa El Nino tidak akan ada ribut tropika seperti yang sering berlaku setiap tahun. Keseluruhan kawasan ini ditakrifkan kering dan pemelowapan air ke udara berkurangan. Sebab itulah tidak banyak hujan.