Konflik yang sedang memuncak di Asia Barat memberi kesan langsung kepada ekonomi Malaysia apabila rantaian perdagangan minyak global terganggu, khususnya susulan penutupan Selat Hormuz.
Gangguan ini menyumbang kepada lonjakan harga bahan api dalam negara. Setakat 8 April, harga RON95 tanpa subsidi dilaporkan mencecah RM3.87 seliter, manakala RON97 naik kepada RM4.95 dan diesel meningkat sehingga RM6.02 seliter.
Kenaikan mendadak ini dijangka memberi kesan berpanjangan kepada kos sara hidup serta kestabilan ekonomi negara secara keseluruhan.
Malaysia Perkenal Alternatif: Biodiesel B100
Di tengah ketidaktentuan bekalan minyak global, Malaysia mula mengetengahkan penyelesaian alternatif melalui pengenalan biodiesel B100 oleh FELDA bersama FGV Holdings.
Berbeza dengan diesel biasa, B100 dihasilkan sepenuhnya daripada minyak kelapa sawit tanpa campuran bahan api fosil. Menurut laporan BFM, ia merupakan antara biodiesel pertama di dunia yang 100% bebas daripada bahan api konvensional.
Kini Lebih Berdaya Saing
Sebelum ini, kos penghasilan B100 sekitar RM4.40 seliter dianggap tinggi berbanding diesel biasa, sekali gus mengehadkan penggunaannya.
Sumber : Facebook FELDA Namun dengan harga diesel global yang semakin meningkat, biodiesel ini kini dilihat lebih kompetitif dan berpotensi menjadi alternatif praktikal dalam menghadapi krisis tenaga semasa.
Malaysia sendiri menghasilkan kira-kira 20 juta tan minyak sawit mentah (CPO) setiap tahun — satu jumlah yang secara teori mencukupi untuk menampung permintaan diesel tempatan. Walau bagaimanapun, kekangan kapasiti pemprosesan serta permintaan yang masih rendah menjadi cabaran utama.
Cadangan Tingkatkan Penggunaan Biodiesel
FELDA mencadangkan agar kerajaan mempertimbangkan peningkatan kadar campuran biodiesel di stesen minyak, daripada B10 kepada tahap lebih tinggi seperti B20 secara berperingkat.
Untuk konteks, diesel B10 bermaksud hanya 10% kandungannya adalah biodiesel.
Langkah ini dilihat mampu meningkatkan penggunaan biodiesel domestik serta mengurangkan kebergantungan kepada minyak import.
Pelaksanaan Bermula Secara Berperingkat
Biodiesel B100 akan digunakan terlebih dahulu dalam operasi FELDA selepas melalui projek rintis selama 15 bulan melibatkan lebih 50,000km perjalanan kenderaan.
Menurut Pengerusi FELDA, Ahmad Shabery Cheek, pelaksanaan penuh masih memerlukan dasar kerajaan yang jelas bagi memastikan bekalan minyak sawit mencukupi.
“Saya telah mengemukakan perkara ini (pelaksanaan B100) kepada Timbalan Perdana Menteri Zahid Hamidi dan Perdana Menteri Anwar Ibrahim.
Pada masa ini, kita memerlukan satu dasar kerajaan (yang jelas), kerana jika dilaksanakan serta-merta, bekalan (minyak sawit mentah) mungkin tidak mencukupi,” katanya.
Harga B100 di peringkat kilang pula dianggarkan sekitar RM4.50 seliter, bergantung kepada harga semasa minyak sawit mentah.
Lebih Bersih & Mampan
Sebagai sumber tenaga boleh diperbaharui, biodiesel menawarkan kelebihan dari segi pengurangan pelepasan karbon berbanding diesel konvensional.
Ia boleh dihasilkan daripada pelbagai sumber seperti minyak sayuran, minyak masak terpakai dan lemak haiwan, serta boleh digunakan dalam enjin diesel sedia ada tanpa pengubahsuaian besar.
Biodiesel juga dikategorikan kepada tiga generasi:
1. Generasi pertama: daripada bahan boleh makan
2. Generasi kedua: daripada bahan tidak boleh makan
3. Generasi ketiga: menggunakan mikroalga dan rumpai laut
Dalam konteks semasa, penggunaan B100 dilihat sebagai langkah strategik Malaysia untuk mengurangkan kebergantungan kepada minyak global, selain menyokong komitmen negara ke arah mencapai pelepasan karbon sifar bersih menjelang 2050.
Kesimpulannya, ketika dunia berdepan krisis tenaga akibat geopolitik, biodiesel B100 berpotensi menjadi penyelesaian tempatan yang lebih stabil, mampan dan relevan untuk masa depan.
Selain itu, kami kongsikan artikel trending yang lain pada pautan di bawah.
