Fazura Kalah Kes Tuntut Ganti Rugi, Kesiannya ~~

Hiburan

Fazura Kalah Kes Tuntut Ganti Rugi, Kesiannya ~~

fazura kalah

Kesiannya kami bila dapat tahu semalam yang Fazura kalah dalam kes tuntut ganti rugi RM500,000 ngan suratkhabar Mingguan Warta Perdana (wujud lagi ke tak suratkhabar nie). Bukan apa kami pun minat gak ngan Fazura nie. Muka dia memang ada ciri-ciri gadis Melayu yang sejati. Kata orang, kalau jadi bini sejuk mata mak mertua memandang.

Advertisement

Buat yang tak tahu, Fazura bagitau disebabkan artikel yang ditulis, dia kerugian hampir RM1 juta. Kononnya tulisan artikel itu memburukkan dia sampai syarikat-syarikat yang sepatutnya amik dia jadi model membatalkan hasrat diorang. Contohnya macam kontrak RM100,000 ngan syarikat make up Olay.

RM1 juta tue beb. Sapa tak pening kalau tetiba duit depan mata ghaib tiba-tiba. Tapi keputusan mahkamah perlu dihormati. Dah kalah tue nak wat macam mana. Tak ada rezeki la tue kiranya. Takper ye Fazura. Harap banyak-banyak bersabar. Dengar cerita filem Pisau Cukur meletup kat wayang. Nanti dapatlah bonus tue.

Kalau ada yang berminat nak baca cerita penuh yang diambil sumbernya dari Mstar, sila baca artikel ini sepenuhnya.

KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi di sini hari ini menolak tuntutan saman ganti rugi pelakon dan pengacara Nor Fazura Sharifudin dengan kos setelah mahkamah mendapati beliau gagal membuktikan kenyataan dalam akhbar Mingguan Warta Perdana yang didakwa telah memburukkannya adalah satu fitnah.

Tuntutan saman itu dibuat oleh Fazura, 26, ekoran artikel bertajuk “Fazura Rela Dipenjara” yang tersiar di Mingguan Warta Perdana pada 29 Mei 2005.

Isi kandungan artikel itu turut memetik pelakon filem ‘Pisau Cukur’ ini sebagai berkata, “Saya tidak takut dengan hukuman sekiranya saya didapati bersalah melakukan perbuatan tersebut.”

Hakim Datuk Balia Yusof Wahi berpendapat, tajuk artikel dan isi kandung artikel itu sebenarnya membuatkan Fazura tabah, cekal dan berani untuk menghadapi semua kemungkinan.

“Inilah effect (kesan) artikel yang dikeluarkan pada 29 Mei 2005 itu. Pihak plaintif telah gagal membuktikan kenyataan tersebut adalah fitnah.

“Oleh kerana kesalahan fitnah tidak berjaya dibuktikan, isu exemplary damages atau ‘gantirugi kecederaan dan teladan’ tidak berbangkit dalam kes ini. Oleh itu Mahkamah memutuskan tuntutan plaintif ditolak dengan kos,” katanya dalam prosiding petang tadi.

Beliau berkata demikian dalam kes perbicaraan Fazura dalam tuntutan kes saman Fazura terhadap syarikat Perdana Production House Sdn Bhd, yang menerbitkan akhbar Mingguan Warta Perdana, yang dinamakan sebagai defendan pertama, dan pemberita Haslinda Hashim, 31, sebagai defendan kedua.

Peguam Fakhrul Azman Abu Hassan mewakili Fazura sementara peguam Shaari Nor ialah peguam cara untuk defendan. Pada sebelah pagi, mereka membuat penghujahan untuk kes tersebut.

Fazura menuntut RM500,000 atau apa-apa jumlah yang mahkamah fikirkan sesuai dan faedah empat peratus setahun terhadap ganti rugi am dari tarikh pemfailan saman sehingga tarikh penghakiman.

Turut dituntut, faedah 8 peratus setahun dari tarikh penghakiman sehingga tarikh penyelesaian penuh, permohonan maaf defendan-defendan secara terbuka, kos atas dasar peguamcara dan anak guam, kos tindakan ini, ganti rugi kecederaan dan teladan serta apa-apa relif yang mahkamah fikirkan sesuai.

Mengulas lanjut, Balia berkata, memang tidak dapat dinafikan terdapat dua kriteria untuk mengklasifikasikan fitnah yang dipersetujui oleh kedua-dua pihak plaintif dan defendan iaitu terdapatnya penerbitan dan ia berkaitan dengan plaintif.

“Kriteria utama lain adalah untuk membuktikan kesalahan fitnah itu. Salah satu kriteria yang penting dalam Tort Libel ialah kenyataan yang dikeluarkan atau dicetak adalah memalukan, mengaibkan atau fitnah plaintif.

“Saya telah berkesempatan merujuk kepada Kamus Dewan edisi 4 terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka. Perkataan ‘redha’ bermaksud bersedia dengan ikhlas hati untuk buat sesuatu.

“Mahkamah berpendapat ‘redha’ dan ‘rela’ adalah hampir sama. Oleh itu, fakta yang paling penting (untuk membuktikan fitnah) tidak dapat dibuktikan oleh plaintif,” katanya.

Sebelum membacakan keputusan itu, Balia menasihatkan akhbar seharusnya lebih bertanggungjawab dan bukannya memikirkan tentang keuntungan semata-mata.

Ini kerana dalam keterangan bersumpah, pihak defendan ada menyatakan tajuk artikel dibuat untuk menghasilkan ‘faktor wow’ bagi menarik minat pembaca.

Katanya, akhbar haruslah melaporkan berita berlandaskan etika kewartawanan. “Akhbar sewajarnya adalah pembuka minda yang melaporkan perkara benar dan tidak mensensasikan sesuatu isu,” katanya.

Ketika ditemuramah selepas prosiding selesai, Fazura berkata dia perlu berbincang dengan peguamnya sama ada untuk membuat rayuan terhadap keputusan mahkamah hari ini.

“Saya cuma terkilan kerana ‘kunci utama’ kes ini ialah takrifan ‘rela’ dan ‘redha’. Saya katakan ‘redha’ kerana mengikut fahaman saya, ‘redha’ ialah apabila saya terima ketentuan Allah.

” ‘Rela’ pula bila kita sesuatu dengan kebenaran atau dengan kesanggupan kita. ‘Redha’ adalah di luar kuasa kita. Kerana itulah saya berada di sini untuk mendapatkan keadilan,” katanya.

Fazura menegaskan dia agak terkilan dengan interpretasi ‘rela’ dan ‘redha’ dan bukan dengan keputusan mahkamah.

Semalam, Fazura memberitahu mahkamah dia gagal mendapatkan kontrak bernilai lebih RM1 juta ekoran tersiarnya satu artikel dalam sebuah akhbar tabloid yang didakwa memburukkannya.

Ekoran itu, katanya, dia kehilangan kontrak bernilai lebih RM100,000 yang telah ditandatangani dengan syarikat kosmetik, Olay.

“Pada masa itu saya juga sedang berbincang dengan syarikat Maybelline, Loreal, Bonia, Clarins, Biotherm, Brands, Celcom dan Hotlink di mana perbincangan langsung tidak diteruskan lagi. Kesemuanya bernilai lebih sejuta,” katanya.

Fazura berkata demikian ketika memberi keterangan dalam kes samannya terhadap syarikat Perdana Production House Sdn Bhd, yang menerbit Mingguan Warta Perdana, yang dinamakan sebagai defendan pertama, dan pemberita Haslinda Hashim, 31, sebagai defendan kedua.

Artikel itu didakwa berkaitan dengan kesnya yang dituduh menyerang surirumah Gerardine Mariana Wong di sebuah disko di Jalan Kia Peng di sini. Dalam kes itu, Fazura dibebas dan dilepaskan oleh Mahkamah Majistret di sini pada 22 September 2008.

Perbicaraan dijalankan di hadapan Hakim Datuk Balia Yusof Wahi.

Dalam prosiding semalam juga, Fazura telah memberitahu mahkamah bahawa isi kandungan akhbar berkenaan turut mendorong penerbit filem ‘Cinta’ menolaknya daripada berlakon dalam filem tersebut sedangkan pada awalnya mereka telah bersetuju.

“Penerbit merasakan kehadiran saya berlakon boleh menolak penonton untuk menonton sesuatu drama atau filem,” katanya.

Sehubungan itu, Fazura menuntut RM500,000 atau apa-apa jumlah yang mahkamah fikirkan sesuai dan faedah empat peratus setahun terhadap ganti rugi am dari tarikh pemfailan saman sehingga tarikh penghakiman.

“Faedah 8 peratus setahun dari tarikh penghakiman sehingga tarikh penyelesaian penuh, permohonan maaf defendan-defendan secara terbuka, kos atas dasar peguamcara dan anak guam, kos tindakan ini, ganti rugi kecederaan dan teladan serta apa-apa relif yang mahkamah fikirkan sesuai,” katanya lagi.

Sambil menegaskan dia tidak pernah mengeluarkan kenyataan tersebut, Fazura dalam sesi soal jawab oleh peguamnya Fakhrul Azman Abu Hassan berkata, dia hanya menyebut “Itu semua kuasa Allah dan saya hanya bertawakkal dan redha.”

Tegasnya, dia amat terkejut dengan kenyataan artikel itu kerana dia tidak pernah mengeluarkan perkataan “saya tidak takut dengan hukuman sekiranya saya didapati bersalah melakukan perbuatan tersebut.”

Ikuti Facebook, Twitter, Instagram, Telegram dan TikTok BeautifulNara untuk dapatkan pelbagai kandungan menarik.

Komen

PERHATIAN: Pihak BeautifulNara tidak akan bertanggungjawab langsung ke atas komen-komen yang diberikan oleh pembaca kami. Sila pastikan anda berfikir panjang terlebih dahulu sebelum menulis komen anda disini. Pihak BeautifulNara juga tidak mampu untuk memantau kesemua komen yang ditulis disini. Segala komen adalah hak dan tanggungjawab anda sendiri.

Loading...