Mendedahkan dirinya pernah bekerja sebagai pencuci tandas ketika menyambung pengajian dia luar negara satu masa dahulu, Chef Selebriti Datuk Fazley Yaakob berkongsi pengalaman yang tak dapat dilupakan apabila terpaksa mengaut najis dan muntah dari lantai tandas.
Menurutnya, selain bekerja sebagai tukang cuci, beliau juga pernah menceburi pekerjaan menjadi mascot pakaian arnab sambil menjual kopi ketika menuntut di menara gading ketika zaman mudanya.
“Mungkin ramai tak tahu, sebelum-sebelum ni, antara kerja-kerja yang saya pernah buat: Mencuci tandas di luar negara sampai terpaksa kaut muntah dan najis manusia di atas lantai untuk dimasukkan ke lubang tandas.”
Fazley bagai tidak segan mendedahkan kisah silamnya menerusi entri yang dimuat naik di laman Instagramnya.
Hal ini kerana, beliau turut berkongsi video yang merakamkan dirinya sedang mop lantai, malah memberitahu kerja-kerja mengemas seperti itu langsung tidak menjadi masalah baginya meskipun sudah memiliki dua buah restoran.
Seperti sudah dijangka, posting yang mendapat ribuan tanda suka itu dihujani dengan komen-komen murni daripada pengikutnya. Malah ramai dalam kalangan peminat Fazley juga seakan teruja dengan sikap Fazley yang tidak malu melakukan kerja-kerja sedemikian rupa, sekali gus mampu menjadi inspirasi buat anak muda yang mahu berjaya sepertinya.