Tersenarai dalam TC Candler’s 100 Wajah Paling Tampan 2020, selebriti dan usahwan yang sebelum ini pernah dilabel sebagai pelakon kayu, Fattah Amin kini menjadi satu-satunya calon yang layak mewakili Malaysia dalam senarai tersebut.
Pencalonannya dalam senarai Lelaki Paling Tampan 2020 adalah menerusi pengumuman di laman Instagram rasmi @tccandler pada 1 September lalu.
Menurut laporan Oh My Media, sebelum memilih calon terakhir untuk 100 Wajah Paling Tampan 2020, pencalonan ini dinilai berdasarkan undian dan komen terbanyak yang dilakukan oleh peminat di saluran YouTube rasmi TC Candler.
Selain suami kepada pelakon jelita Fazura ini, nama-nama besar lain seperti bintang K-Pop V (BTS), Hyun Bin, Lucas (NCT), dan Suho (EXO) juga turut berada dalam senarai yang sama.
Untuk rekod, pelakon Henry Golding yang popular menerusi filem Crazy Rich Asians pernah menduduki tempat ke-84 bagi senarai pada tahun 2018, manakala pelakon filem Aquaman, Jason Momoa pula diangkat sebagai lelaki terkacak dunia pada tahun yang sama.
Malah, untuk tahun 2019 pula, ahli kumpulan BTS iaitu Jungkook merupakan lelaki terkacak di dunia dalam siri tersebut.
Sumber: Oh My Media