Sejak semalam, netizen mempersoal tentang ‘single’ duet Fattah Amin dan Fazura yang dilaporkan bakal dilancarkan esok, selepas beberapa hari mereka bercerai.
Ada yang mengkritik dua selebriti itu kerana didakwa sengaja menggunakan isu yang sedang hangat tentang perpisahan mereka untuk mempromosikan lagu tersebut.
Bagaimanapun, Fattah Amin akui tidak tahu menahu bahawa ‘single’ nyanyiannya dan bekas isterinya akan dilancarkan esok.
Perkara itu disahkan oleh pengurusnya, Sakirin Acha atau dikenali sebagai Acha yang turut menepis dakwaan netizen yang menuduh Fattah cuba menggunakan isu perceraiannya sebagai gimik untuk mempromosikan lagu bertajuk ‘Bertahan Demi Cinta’ itu.
Saya baru saja menghubungi Fattah untuk mengetahui perkara ini dan dia maklumkan tidak tahu-menahu mengenai pelancaran single duet ini.
Saya ingin tegaskan perceraian ini bukan satu gimik untuk mempromosikan single duet atau dibuat main. Saya orang pertama yang akan melarang Fattah sekiranya dia mahu mempromosikan single itu pada waktu sekarang.
Tambah Acha, Fattah memberitahunya bahawa lagu tersebut sudah lama dirakam dan pernah menjadi salah satu runut bunyi drama bersiri Hero Seorang Cinderella 2 malah telah menjalani proses penggambaran muzik video di Indonesia.
Cuma tak sangka pula single ini dilancarkan sekarang hingga mengundang pelbagai fitnah yang tidak benar. Jadi, saya harap netizen berhenti membuat spekulasi tak betul.