Mengakui dirinya kini sedang giat mempelajari pelbagai ilmu dan rajin bertanya dengan keluarga serta rakan sekeliling tentang selok belok kebapaan, pelakon tampan Fattah Amin yang bakal menimang zuriat sulung tidak lama lagi mendedahkan beliau kini sedang membuat persediaan.
Katanya persediaan dari segi fizikal dan mental harus diberi keutamaan. Hal ini demikian kerana, tanggungjawab yang harus dipikul sebagai seorang bapa menuntut masa serta kerja keras.
“Apabila tanya kawan-kawan, rata-rata nasihat mereka selamat berjaga malam. Mahu tergelak sebenarnya tetapi itu adalah realiti. Nasib baiklah kerjaya sebagai pelakon memang kerja tak tentu masa, jadi senang.
Dedahnya lagi, dirinya sangat bersyukur apabila dikurniakan orang-orang yang bak hadir dalam hidupnya.
“Alhamdulillah, saya dikelilingi keluarga yang sangat membantu malah isteri, Fazura sendiri tidak pernah menyusahkan malah menolong lagi.”
Ujar Fattah, biarpun selepas ini bergelar bapa serta sibuk dengan tugasan sebagai ketua keluarga, namun beliau khabarnya tetap akan menerima tawaran berlakon.
“Selepas kelahiran pun, saya akan fokus kepada keluarga tetapi dalam masa yang sama, tetap menerima tawaran dan sebenarnya, ada beberapa kerja tertunggak yang harus diselesaikan. Rezeki anak itu.”
Sekadar informasi, Fattah sebelum ini pernah menggegarkan industri hiburan dengan populariti yang bukan calang-calang. Malah, ketika itu juga beliau berjaya melancarkan buku tulisannya sendiri sehingga laris seperti pisang goreng panas. Biarpun statusnya kini sebagai seorang suami dan bakal bergelar bapa, namum popularitinya langsung tidak pernah tenggelam.
Sumber: Utusan Malaysia