Kontroversi menari seakan orang sedang “mabuk” dengan pakaian seksi di Bigo Live merupakan detik paling hitam dalam hidup pelakon Fathia Latiff. Sehingga hari ini, beliau masih menerima kecaman daripada masyarakat.
Meskipun pada luarannya Fathia kelihatan sudah “move on” daripada insiden itu, hakitkatnya beliau masih lagi dihantui kesilapan lalu. Bercerita mengenai apa yang terjadi, Fathia mengakui hidup dan kariernya hancur gara-gara tersilap pilih kawan.
Saya mudah rapat dengan orang yang baru dikenali, tidak kira sesiapa. Saya terlalu naif untuk menilai hati budi seseorang. Sudahnya, saya terjunam dengan kesilapan. Paling membuatkan saya tersentak, apabila seorang teman yang sangat saya sayang sanggup berbuat khianat. Kejadian itu membuatkan saya sedar perlu segera berubah dan kembali mencari diri.
Orang lihat saya masih mampu tersenyum, tetapi hakikatnya saya sedang menderita. Saya sangka mampu bertahan, tetapi silap percaturan. Satu persatu keselesaan yang saya miliki terlepas dari genggaman. Kerjaya lakonan saya hancur kerana masalah disiplin. Saya selalu fikir orang boleh menerima cara saya. Saya tidak bersyukur.
Gara-gara terlalu banyak perkara yang berlaku dalam hidupnya, Fathia mengalami tekanan yang teruk sehigga terpaksa bertemu pakar psikiatri untuk menenangkan jiwanya yang memberontak.
Membawa diri ke London pada Disember tahun lalu, Fathia akhirnya sedar beliau harus bangkit dan daripada lamunannya.
Di sana, Allah SWT menjentik saya, membuatkan saya mula terfikir satu persatu kesilapan yang pernah dilakukan. Mengingati semua kesilapan itu, saya malu dengan diri sendiri. Selepas kejadian itu, saya terus ke Ireland bertemu adik, Fasiha Latiff. Di sana, saya bermuhasabah diri dan mula dekatkan diri dengan-Nya.
Sudah insaf dan tekad untuk meninggalkan segala perbuatan lalu, Fathia saat ini hanya pinta orang ramai memberikan beliau peluang kedua untuk beliau memperbetulkan kesilapannya dan menjadi seorang insan yang lebih baik.