Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) 3.0 yang telah diperkenalkan semula selepas tujuh tahun dihentikan telah berjaya menamatkan fasa pertama selama 45 hari pada bulan lalu.
Program itu kini sedang bersiap sedia untuk fasa kedua dan ketiga yang dijadualkan berlangsung pada 11 Mei hingga 24 Jun dan 7 September hingga 21 Oktober.
Ketua Pengarah Jabatan Latihan Khidmat Negara, Datuk Yahya Yacob berkata, peserta bagi sesi seterusnya akan dipilih melalui proses ‘pemilihan rawak’.
Selain pengambilan secara wajib, permohonan secara sukarela juga diterima dengan sasaran seramai kira-kira 1000 pelatih.
Mereka akan dibahagikan kepada dua kumpulan yang terdiri daripada 500 perserta dimana pelatih lelaki dan perempuan akan menjalani latihan secara berasingan selama 45 hari.
Latihan ini akan dijalankan di Kem Rejimen Askar Wataniah 515 di Kuala Lumpur atau Kem Rejimen Askar Wataniah 505 di Pekan, Pahang.
Yahya turut berkata, pelatih yang dipilih akan menerima notifikasi pemanggilan melalui e-mel dan telefon pada bulan April dan Ogos.
Pelatih perlu mengesahkan kehadiran mereka melalui surat jawapan dan pengecualian hanya diberikan atas sebab-sebab tertentu seperti masalah kesihatan atau berada di luar negara.
Kementerian Pertahanan menjelaskan bahawa program PLKN 3.0 ini merangkumi 70 peratus latihan ketenteraan termasuk navigasi, kawad dan latihan senjata peribadi bagi meningkatkan disiplin serta kecergasan fizikal.
Baki 30 peratus pula memberi tumpuan kepada pendidikan sivik, meliputi sejarah Malaysia, sistem politik dan kepelbagaian budaya.
Semua latihan yang dijalankan mengikut Akta Khidmat Negara 2003 dengan matlamat untuk meningkatkan kesedaran pertahanan negara, semangat tanggungjawab nasional serta pengetahuan asa keselamatan dalam kalangan pelatih.