Syarikat automotif legenda dari Jepun, Nissan Motor Co, dilaporkan sedang melalui fasa paling mencabar dalam sejarahnya, apabila merancang untuk memberhentikan sekitar 20,000 pekerja di seluruh dunia, menurut laporan terkini daripada agensi berita Kyodo.
Jumlah ini adalah lebih dua kali ganda daripada yang diumumkan pada November tahun lalu, menjadikan ia antara langkah penstrukturan semula terbesar pernah dilakukan oleh syarikat tersebut.

Pemotongan tenaga kerja itu dikatakan bakal melibatkan kira-kira 15 peratus daripada keseluruhan kakitangan Nissan di seluruh dunia, dan dijangka diumumkan secara rasmi sempena pembentangan laporan kewangan fiskal 2024 pada hari Selasa ini.
Selain itu, Nissan turut mempertimbangkan untuk menutup salah satu daripada lima kilang pemasangan domestiknya di Jepun sebagai sebahagian daripada usaha menyusun semula kapasiti pengeluaran berikutan penurunan mendadak dalam jualan. Bagaimanapun, langkah ini dijangka mendapat tentangan daripada kesatuan pekerja dan pihak berkepentingan.
Sebelum ini, pada November 2024, Nissan telah mengumumkan pengurangan 9,000 pekerjaan serta pelan untuk mengurangkan kapasiti pengeluaran global sebanyak 20 peratus menjelang tahun fiskal 2026, susulan prestasi lemah di pasaran utama seperti Amerika Syarikat dan China.

Pada Februari lalu, Nissan turut mengumumkan penutupan sebuah kilang di Thailand serta dua lagi kilang di lokasi yang masih belum didedahkan.
Keputusan penstrukturan semula ini turut dikaitkan dengan kos operasi yang tinggi dan tekanan pasaran global, termasuk impak daripada kenaikan tarif automotif Amerika Syarikat di bawah pentadbiran Donald Trump, yang menjejaskan prestasi eksport kenderaan Jepun.
Disebabkan pelaksanaan pelbagai langkah penstrukturan ini, Nissan menjangkakan kerugian bersih antara 700 bilion yen hingga 750 bilion yen (sekitar RM21.5 bilion hingga RM23 bilion) bagi tahun fiskal 2024, menjadikan ia kerugian tahunan terbesar dalam sejarah syarikat.
Selain itu, kami kongsikan artikel trending yang lain pada pautan di bawah.