Apa yang berlaku kepada Datuk Farid Kamil amat mengejutkan peminat industri hiburan tempatan apatah lagi beliau berkemungkinan mengalami tekanan perasaan yang teruk.
Terbaru, pelakon Ridzuan Hashim mendakwa dirinya telah ditampar oleh Farid ketika berada di set penggambaran pada Rabu lalu dan kemudiannya beliau melarikan diri tanpa sebarang sebab.
Kejadian berlaku jam 1.30 pagi pada 10 Januari lalu di studio milik Soffi Jikan ketika berlangsung penggambaran drama arahan Shuhaimi Lua Abdullah. Tidak semena-mena Farid menampar pipi kiri saya sampai jadi merah. Apabila saya jerit ‘Oi kenapa kau tampar aku’ dia terus berlari keluar meninggalkan premis yang menjadi lokasi penggambaran.
Entah kenapa dia terus menampar saya. Apabila saya jerit tanya kenapa dia terus lari keluar daripada premis itu dan tidak patah balik untuk mengambil keretanya. Ketika itu saya lihat dia seperti kebingungan. Kru dan pelakon lain menjadi saksi apabila saya menjerit namanya dan mereka juga melihatnya berlari keluar.
Ridzuan bagaimanapun tidak membuat laporan polis kerana tidak mahu memanjangkan isu tersebut dan tidak mahu keluarga Farid tertekan.
Mengulas kejadian Farid ditahan kemudian direman, Ridzuan mengaku terkejut dan berharap masyarakat tidak menjatuhkan hukum kepada Farid. Kata Ridzuan, Farid masih muda dan beliau sayangkan masa depan pelakon dan pengarah itu.