Sedang menjalani hukuman di penjara Kajang atas atas kesalahan menggunakan dadah jenis ganja Tetra Hydrocannibol (THC), tahun lalu, keadaan Datuk Farid Kamil dikatakan lebih tenang.
Berita itu dimaklumkan oleh adiknya, Fadzil Zahari ketika menemani kakak iparnya, Datin Diana Danielle untuk melawat Farid. Fadzil juga berkata abangnya sudah redha dengan apa yang berlaku dan lebih kuat semangat untuk menghadapi dugaan berbanding kali pertama dimasukkan ke lokap dahulu.
Saya dan Diana pergi melawat Farid di Penjara Kajang. Alhamdulillah, dia sudah kelihatan lebih tenang dan kuat berdepan dengan dugaan ini. Sebelum ini, memang nampaklah dia sedih. Tapi sekarang, dia dah redha dengan keputusan mahkamah.
Dalam pada itu, Fadzil mengakui mereka sekeluarga tidak putus harapan agar Farid dapat menyambut hari raya bersama keluarga. Peguam yang mewakili Farid sedang berusaha sebaik mungkin untuk menangguhkan hukuman terhadap pelakon itu.
Ibu bapa saya amat bersedih dengan berita ini tapi mereka sentiasa berdoa supaya ada keajaiban berlaku dalam tempoh kurang dua minggu sambutan hari raya. Malah, ada juga dalam kalangan keluarga dan kenalan terdekat yang turut menganjurkan solat hajat. Buat masa sekarang, peguam masih usahakan untuk rayuan.
Terdahulu, Mahkamah Majistret Petaling Jaya memerintahkan Farid menjalani hukuman penjara selama sembilan bulan dan berada bawah pengawasan Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) selama dua tahun kerana menggunakan dadah jenis ganja pada Januari tahun lalu.
Majistret Nor Arriffin Hisham turut memerintahkan Farid menjalani hukuman penjara serta-merta pada 15 Mei lalu.
Kredit Foto : NST