Pelakon, Farid Kamil atau nama lengkapnya Farid Kamil Zahari telah melantik peguam sebagai wakil Jawatankuasa Pendamai (JKP) bagi sebutan kes penceraian bersama isterinya, Diana Danielle.
Memetik laporan Sinar Harian, peguam syarie, Fakhrul Azman Abu Hassan berkata, dalam tempoh tersebut tiada sebarang halangan sekiranya pasangan itu mahu berdamai atau berbaik.
Prosiding berjalan seperti biasa dan kita sudah selesaikan pelantikan JKP. Bagi pihak Farid kita lantik peguam sebagai wakilnya, proses JKP akan dijalankan di pejabat agama dan tarikh keputusan masih sama sebelum ini iaitu 24 Mac.
Tiada masalah jika (Farid dan Diana) mahu berbincang untuk berdamai atau berbaik semula kerana pasangan masih lagi suami isteri. Apa pun tunggu sahaja proses seperti mana yang diarahkan oleh mahkamah.
Dalam pada itu, Farid berkata, dia masih kekal dengan pendiriannya untuk tidak menceraikan isterinya dan mengharapkan doa daripada semua pihak.
Proses JKP merupakan proses biasa di peringkat mahkamah untuk pendamaian bagi mencari jalan penyelesaian untuk mendapat keputusan terbaik. Saya hanya perlukan doa yang baik-baik dan pendirian masih kekal (bersama Diana).
Terdahulu, Farid perlu hadir ke mahkamah bersama wakil JKP pada Selasa susulan keputusannya yang tidak mahu meneruskan penceraian manakala Diana dikecualikan kehadiran pada sesi berkenaan selepas melantik rakannya sebagai wakil JKP.
Mahkamah kemudian menetapkan 24 Mac ini untuk sebutan semula dan laporan JKP bagi kedua-dua pihak.