“Fahami Transgender, Bukan Hukum Mereka” – Bekas Mufti

Trending

“Fahami Transgender, Bukan Hukum Mereka” – Bekas Mufti

Juanda-Jaya_siti-kasim_600

Islam tidak menggalakkan ketidakadilan dan pihak berkuasa agama yang menekan golongan transgender hari ini, disifatkan telah lari daripada ajaran sebenar agama itu.

Advertisement

Demikian kata peguam hak asasi manusia, Siti Kasim, selepas Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) menyerbu majlis makan malam tertutup yang dianjurkan golongan transgender, minggu lalu.

Majlis makan malam itu turut merangkumi satu pertunjukan menyerupai pertunjukan ratu cantik yang disertai individu transgender yang hadir.

Semalam, Siti yang turut menghadiri majlis makan malam itu, memuat naik sebuah rakaman video mengenai wawancara bekas Mufti Perlis, Dr Juanda Jaya pada 2012.

Menurut portal FMT, dalam video selama tiga minit itu, Juanda menjelaskan cara Islam untuk berdepan golongan transgender yang langsung tidak membenarkan sebarang keganasan mahupun diskriminasi terhadap mereka.

“Dia lelaki, tetapi berlagak seperti wanita. Dia lelaki, kerana dia ada alat kelamin lelaki. Tetapi, bila disemak secara saintifik bilangan kromosom dia, mendapati bahawa XY tu tak wujud.

“Maksudnya kromosom yang menunjukkan dia lelaki itu tidak wujud, yang wujud hanyalah XX, ertinya kromosom wanita sahaja, sedangkan dia ada alat (kelamin) lelaki.

“Seingat saya, fatwa kita dah ada keputusan tentang perkara ini, ertinya setelah disahkan oleh doktor yang pakar dalam bidang ini, lelaki itu berhak untuk memilih jantina wanita, kerana terbukti sebenarnya dalam jasad dia itu ialah jasad wanita,” katanya dalam rakaman video itu.

Menurutnya, jika dari segi aspek biologi, individu transgender itu menunjukkan dia adalah lelaki, tetapi secara psikologinya dia terbukti adalah jantina lain, maka pilihannya untuk menjalani hidup sebagai seorang wanita perlu dibuka untuk pertimbangan, dengan syarat mempunyai testimoni pakar untuk menyokong dakwaan lelaki terbabit.

Tambahnya lagi, walaupun seorang lelaki itu memilih untuk menjadi wanita berdasarkan kehendaknya sendiri, ia bukanlah alasan baik untuk masyarakat menjatuhkan sebarang bentuk hukuman ke atasnya.

“Sepatutnya kita melihat mereka yang mengalami kecelaruan jantina ini ialah orang yang bermasalah yang mesti dibantu, bukan dihukum. Dibantu, dibimbing, ditunjukkan jalan yang betul untuk dia, bagaimana menjadi warganegara yang bermanfaat untuk semua orang,” katanya.

Beliau turut menyeru masyarakat supaya memberi nasihat dalam bentuk simpati, prihatin dan kasih sayang, bukannya hukuman atau ancaman, kerana kebanyakan individu transgendeer berjuang untuk hidup mereka.

“Jauh di sudut hati naluri mereka yang celaru jantina ini, mereka mencari masyarakat, individu, mereka yang ada rasa kasih yang boleh mendengar masalah mereka dan kehidupan.

“Maka sebagai individu masyarakat, terlebih lagi sebagai orang islam, kita sepatutnya melihat mereka ini sebagai insan-insan yang perlu dibantu dan dibimbing untuk menjadi orang yang boleh beri manfaat kepada masyarakat,” katanya.

Ikuti Facebook, Twitter, Instagram, Telegram dan TikTok BeautifulNara untuk dapatkan pelbagai kandungan menarik.

Komen

PERHATIAN: Pihak BeautifulNara tidak akan bertanggungjawab langsung ke atas komen-komen yang diberikan oleh pembaca kami. Sila pastikan anda berfikir panjang terlebih dahulu sebelum menulis komen anda disini. Pihak BeautifulNara juga tidak mampu untuk memantau kesemua komen yang ditulis disini. Segala komen adalah hak dan tanggungjawab anda sendiri.

Loading...