August 11th, 2016

Sekitar bulan lepas, penyanyi Ezad Lazim memberitahu beliau muntah lebih 20 kali sehari dan telah mendapatkan rawatan doktor tetapi tiada penyakit yang dapat dikenal pasti.

Terbaru, Ezad sekali lagi dimasukkan ke hospital selepas mengalami muntah berterusan pada hari Isnin lepas apabila selesai membuat persembahan di Klang, Selangor.

Sebenarnya sebelum itu lagi saya sudah rasa tidak sedap badan kerana selepas makan pasti akan muntah. Sekarang saya terpaksa makan dalam jumlah yang sedikit.

Mungkin masalah ini berulang akibat saya tersalah makan. Saya masih lagi makan ubat yang dibekalkan ketika menerima rawatan di sebuah pusat perubatan di Kedah sebelum ini.

Walaubagaimanapun, kali ini doktor yang merawat beliau memaklumkan Ezad mengalami simptom yang dikenali sebagai Gastroesophageal Reflux Disease atau GERD.

GERD adalah keadaan yang terjadi apabila refluks atau jeluak kandungan gastrik menyebabkan simptom atau komplikasi yang mendatangkan masalah. GERD boleh menyerang sesiapa sahaja termasuk orang muda.

Doktor meminta saya lebih banyak berehat dan jangan terlalu banyak berfikir kerana ia boleh menjejaskan kesihatan saya. Mungkin saya akan berbincang dengan isteri Nor Zeana Ramli untuk mengehadkan aktiviti nyanyian selepas ini. Dalam keadaan kesihatan begini, saya perlu ada masa untuk diri sendiri pula.

Kami mendoakan agar Ezad Lazim cepat sembuh dan berehat secukupnya. Teruk juga kalau asyik muntah berterusan, boleh jadi lemah badan dibuatnya.

Sumber Berita : Harian Metro


Comments are closed.

Loading...