Konsisten dengan rekod bersih 100 peratus kemenangan, All Blacks merangkul kejuaraan ketiga piala dunia. Sejak 1987, All Blacks adalah satu-satunya pasukan menjuarai piala dunia untuk dua edisi berturut-turut.
Pasukan All Black menutup Edisi Piala Dunia tahun ini dengan tarian Haka mereka
All Blacks menyingkirkan cabaran Australia 34-17 untuk bergelar juara.
Turun selaku juara bertahan, New Zealand bagaimanapun tidak memandang rendah keupayaan The Wallabies di bawah kendalian Michael Cheika itu, yang mana turut mempamerkan aksi yang cukup menyakinkan sepanjang kejohanan.
Tujuh minit sebaik perlawanan bermula, All Blacks peroleh mata pertama mereka menerusi penalti Daniel Carter, namun kelebihan itu tidak kekal lama apabila Bernard Foley menyamakan kedudukan 3-3 enam minit selepas itu.
All Blacks terus perkemaskan corak dengan menambah mata menerusi dua penalti Carter.
Percubaan daripada Nehe Milner-Skudder dan dilengkapkan dengan conversion Carter melebarkan kedudukan kepada 16-3 menuju babak kedua.
Dengan hanya seminit selepas rehat, New Zealand memperoleh try melalui Ma’a Nonu menjadikan kedudukan 21-3.
Namun ketinggalan jauh tidak mematahkan semangat Australia sebaliknya pasukan itu bangkit merapatkan jurang mata dengan memperoleh dua try dan dua conversion selepas itu, untuk menjadikan kedudukan 21-17.
Tidak melatah, All Blacks mengorak langkah menambah satu try, satu conversion dan satu penalti untuk menoktahkan kemenangan 34-17 ke atas Australia, sekaligus menjulang trofi gemilang itu untuk dua edisi berturut.
New Zeland mempamerkan aksi cemerlang bermula dari aksi peringkat kumpulan dengan mengekalkan rekod bersih 100 peratus kemenangan.
Momentum itu diteruskan hinga ke penghujung perlawanan untuk membolehkan mereka merangkul kejuaraan ketiga mereka di Piala Dunia.