Mengucapkan sekalung penghargaan buat petugas barisan hadapan dalam mengharungi segala kesukaran berdepan penularan wabak COVID-19 yang melanda ngara ketika ini, pelakon dan penyanyi Erra Fazira zahir rasa bangga menjadi sebahagian daripada rakyat Malaysia.
Menurut Erra, beliau amat mengagumi cara negara menangani masalah ini dalam mengekang penularan wabak tersebut dari terus berleluasa.
Erra menyampaikan ucapan terima kasih itu di laman Instagramnya menerusi sebuah posting yang dimuat naik baru-baru ini.
“SAYA BANGGA MENJADI RAKYAT MALAYSIA!!! MOGA KITA MENANG! MOGA KITA TERUS PERANGI COVID19.”
Meskipun bangga, Erra bagaimanapun sempat menyelit yang dirinya seakan kurang senang melihat segelintir pihak yang tidak bertanggungjawab khususnya rakyat Malaysia yang degil mengikut arahan yang ditetapkan kerajaan.
“Perjuangan belum berakhir! Saya kagum, bangga, rakyat Malaysia KEBANYAKAN (ada segelintir yang tidak, sudah tentu!) berhati lembut, taat dan sedia memberi kerjasama demi kebaikkan bersama.”
Menjengah ke ruangan komen, rata-rata pengikutnya turut bangga melihat sikap murni Erra yang tidak putus memberi semangat kepada semua petugas barisan hadapan dan tidak putus berterima kasih kepada mereka.
Malah, apa yang lebih mencuri tumpuan, warganet juga turut menzahirkan penghargaan itu dengan menitip ucapan jutaan terima kasih kepada petugas berkenaan yang bertungkus lumus menangani segala yang berlaku di Malaysia.
Terdahulu, Tan Sri Muhyiddin Yassin selaku Perdana Menteri baru-baru ini telah mengumumkan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) ditamatkan pada 9 Jun.
Perkara itu bagaimanapun digantikan dengan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) bermula 10 Jun hingga 31 Ogos depan yang mana pelaksanaan itu lebih longgar dan memudahkan rakyat melakukan aktiviti harian seperti sedia kala namun perlu mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan oleh kerajaan.