Mendedahkan bahawa dirinya dan pasangan tunang, iaitu penyanyi Syamel bakal mengabadikan kisah percintaan mereka dalam sebuah lagu istimewa, penyanyi Ernie Zakri tidak menafikan bahawa lagu tersebut dirancang untuk diterbitkan sewaktu majlis perkahwinan mereka kelak.
Ujar Ernie, ia akan menjadi perkhabaran paling bermakna dalam hidupnya andai lagu tersebut dapat dimainkan pada hari perkahwinan mereka.
“Kalau nak terbitkan lagu itu mungkin sewaktu hari perkahwinan. Tengoklah macam mana, kalau sempat kami buat. Lagunya sudah ada, cuma, belum betul-betul duduk berbincang lagi. Kalau dapat terbitkan waktu hari perkahwinan nanti pun seronok juga.”
Menurut penyanyi yang popular dengan lagu Ku Bersuara itu lagi, lagu duet itu dihasilkan oleh mereka berdua secara bersama-sama.
“Kalau dulu lagu sedih-sedih, tapi lagu itu nanti lebih kepada cerita yang sweet sahajalah.”
Untuk rekod, Ernie sebelum ini telah mengikat tali pertunangan dengan Syamel dalam satu majlis yang diadakan secara tertutup pada 15 Ogos lalu.
Bagaimanapun, berita itu hanya dikongsikan pasangan tersebut kepada pengikutnya di Instagram sehari kemudian. Semoga segala perancangan Ernie dan bakal suami sentiasa dipermudahkan hendaknya.