Penerbit dan pengarah terkenal, Erma Fatima tampil menafikan dakwaan yang mengaitkan drama terbaharunya, Jangan Panggil Aku Gus dengan pendakwah selebriti, Da’i Syed.
Menurut laporan mStar, Erma menegaskan karya tersebut tidak merujuk kepada mana-mana individu tertentu, termasuk membabitkan isu peribadi yang kesahihannya masih belum dapat dipastikan.
“Mana ada! Tiada kena-mengena dengan dia (Da’i Syed) pun. Apa yang berlaku kepada dia pun, saya sendiri tak tahu kebenarannya.”
Tambahnya lagi, dia tidak mahu terlibat atau menyentuh hal yang tidak diketahui secara jelas.
“Saya taknak sentuh isu orang”
“Saya tak reti nak buat benda-benda yang saya tak tahu. Saya pun tak nak menyentuh isu orang yang kita tak tahu kebenaran yang sebenar-benarnya. Saya tidak menidakkan ataupun mengiyakan.”
Mengulas lanjut, Erma menjelaskan bahawa idea drama tersebut tercetus hasil pemerhatian terhadap realiti kehidupan serta isu masyarakat semasa, dan bukannya diinspirasikan daripada mana-mana individu secara khusus.
Dalam pada itu, beliau turut meluahkan rasa syukur apabila Jangan Panggil Aku Gus berjaya menghimpunkan barisan pelakon dari Malaysia dan Indonesia dalam satu produksi.
“Alhamdulillah, drama ini gabungan pelakon Malaysia dan Indonesia. Saya berharap selepas ini akan lebih banyak lagi drama atau filem yang menggabungkan artis Malaysia-Indonesia. Macam satu ketika dahulu filem Gadis Hitam Putih.”
Selain itu, kami kongsikan artikel trending yang lain pada pautan di bawah.
